Zamsaham terus dihimpit pemain ke-12 TRW, 2 keadaan tidak memihak Kelantan musim ini


  • Podium
  • Ahad, 20 Ogos 2023

Zamsaham kini didesak oleh penyokong TRW supaya melepaskan pasukan Kelantan kepada individu lain.

KECOH ketika ini buat penyokong Kelantan FC selepas pasukan kesayangan mereka tewas dua kali berturut-turut dengan jaringan besar dalam perlawanan Liga Super dan Piala Malaysia.

Dua perlawanan terakhir itu menyaksikan Kelantan dibolosi sebanyak 18 gol tanpa sebarang jaringan balas.

Tambah hangat lagi apabila isu luar padang yang semakin menghimpit pemilik Kelantan, Norizam Tukiman sehingga ada pihak yang mahu dia melepaskan jawatan dalam pasukan sekali gus melepaskan The Red Warriors (TRW) kepada individu lain.

Bukan sahaja desakan daripada penyokong, malah Kelantan juga dinafikan hak untuk mendaftar pemain import baharu kerana mempunyai masalah teknikal yang tidak dapat diselesaikan sebelum tarikh jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) ditutup.

Meskipun penyokong mendakwa kegagalan Kelantan untuk mendaftar pemain import adalah isu tunggakan gaji, Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham terlebih dahulu menafikan perkara tersebut.

Majoriti senaraikan dua situasi yang tidak memihak kepada Kelantan sekali gus menjadikan Zamsaham sebagai 'kambing hitam' di atas kegagalan TRW musim ini:

WhatsApp Image 2023-08-20 at 4.32.02 PM

Sembilan pemain import yang dibawa Kelantan awal musim ini.

1. Format pertandingan MFL berubah

Umum mengetahui musim ini Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) megubah format pertandingannya yang mana sebanyak 14 pasukan berentap dalam Liga Super bagi mendapatkan lebih banyak minit permainan untuk setiap pasukan.

Dengan penambahan minit permainan, pastinya kos perjalanan, penginapan serta operasi pasukan terjejas kerana ia memerlukan bajet yang besar untuk menampung semua aktiviti itu.

Musim ini, MFL juga menambah kuota import dari lima ke sembilan pemain untuk menyamai format baharu yang diperkenalkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dalam kejohanan Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Kelantan yang baru saja dinaikkan pangkat daripada Liga Perdana dilihat terkejut dengan format baharu diperkenalkan MFL apabila TRW merekrut sembilan pemain import semasa awal musim lalu untuk memberikan saingan dalam Liga Super.

Namun kemasukan sembilan pemain import itu memakan diri apabila Kelantan mengalami turut berdepan isu masalah tunggakan gaji sekali gus memberi kesan kepada perjalanan serta prestasi pasukan ketika ini.

Choi Moon-sik

Zamsaham sebelum ini melantik Moon-sik pada awal musim Liga Super 2023.

2. Persiapan tidak rapi untuk bersaing di Liga Super

Tahun ini, Kelantan melantik ketua jurulatih baharu dari Korea Selatan iaitu Choi Moon-sik semasa pra musim untuk membantu Kelantan mengharungi cabaran Liga Super buat pertama kalinya di bawah pentadbiran Zamsaham.

Dengan kemasukan pemain import yang lewat seperti Ismahil Akinade dan Leonardo Rolon, ia menyukarkan barisan kejurulatihan untuk mengenali corak permainan mereka dengan lebih berkesan.

Selain itu, isu pertukaran tiga jurulatih dalam masa yang sangat singkat juga memainkan peranan penting membentuk pasukan untuk bersaing dalam Liga M.

Tiada kemasukan individu berstatus bintang juga dilihat salah satu faktor Kelantan gagal untuk bersaing dalam Liga Super musim ini yang mana skuad TRW rata-ratanya dibarisi pemain muda.

Namun isu besarnya ialah tunggakan gaji yang mana memaksa beberapa pemain berpengalaman membuat keputusan untuk keluar daripada pasukan sekali gus hanya tinggal pemain muda untuk meneruskan perjuangan pasukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram