'Davies, Corbin tak lahir dari sistem bola sepak negara', fans mula risau pengganti masa depan bek HM


  • Podium
  • Isnin, 21 Ogos 2023

Davies dan Corbin-Ong pernah beraksi di luar negara sebelum bermain dalam Liga Malaysia.

SKUAD kebangsaan negara akan mengharungi dua perlawanan persahabatan menentang Syria dan China pada September bagi mempersiapkan pasukan menjelang kejohanan Piala Asia 2023 di Qatar awal tahun depan.

Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon dijangka akan membariskan ramai pemain-pemain utama skuad kebangsaan untuk mempersiapkan pasukan.

Dua pertahanan warisan Harimau Malaya, Matthew Davies dan La'Vere Corbin-Ong pasti akan dipanggil bagi memperkuatkan barisan skuad kebangsaan yang mana posisi kiri dan kanan masih lagi menjadi hak mutlak mereka.

Meskipun sudah ada beberapa nama untuk menjadi pengganti atau pun pelapis di dua posisi itu, ia dilihat masih belum menyamai prestasi Corbin Ong dan Davies.

Ia sekali gus menimbulkan persoalan dalam kalangan penyokong siapakah pengganti terbaik buat dua pemain yang semakin berusia.

Musim ini, Corbin Ong sudah berusia 32 tahun manakala Davies pula memasuki 28 tahun ia sekali gus menimbulkan kerisauan dalam kalangan penyokong Harimau Malaya.

WhatsApp Image 2023-08-21 at 6.58.44 PM

Davies (kiri) dan Corbin-Ong (kanan) merupakan tonggak utama Harimau Malaya.

Salah seorang penyokong di Twitter, Onefootball.my bertanyakan soalan kepada penyokong adakah akan ada permata baharu di posisi tersebut.

"Adakah bola sepak Malaysia akan melahirkan lagi seorang Matt Davies dan Corbin Ong di posisi pertahanan kanan, kiri?

"Adakah akan ada permata baharu dalam negara atau luar negara? Richard Chin boleh mengisi tempat itu dalam beberapa tahun mendatang?" soalnya.

Persoalan yang ditimbulkan Onefootball.my itu mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai dan ada juga memetik beberapa nama sesuai untuk menjadi pengganti buat dua pemain itu.

"Antara yang berpotensi untuk masa akan datang, pertahanan kanan, Azam Azmi, Syahmi Safari dan Safwan Mazlan.

"Manakala pertahanan kiri, V. Ruventhiran dan Declan Lambert," kata @AbamBall.

"Kanan ada Azam Azmi, kiri ada Syahmi Safari walaupun jarang main tapi apabila diturunkan akan beri impak positif dalam perlawanan," jelas @Khaims80.

WhatsApp Image 2023-08-21 at 6.59.22 PM

Corbin-Ong (kiri) pernah mewakili skuad kebangsaan Canada, manakala Davies (kanan) antara pemain muda tumpuan di Australia.

Sementara itu ada juga mendakwa kehebatan Corbin-Ong dan Davies ialah kerana mereka berdua tidak dilahirkan dalam sistem bola sepak negara.

"Corbin dan Matt tidak lahir dari sistem bola sepak negara," luah @HafizmercierMY.

"Matt Davies dan Corbin Ong adalah contoh terbaik mengapa pemain-pemain warisan penting untuk mempertingkatkan mutu pasukan kebangsaan.

"Mereka dibesarkan dalam suasana yang betul-betul profesional dan bawa diri mereka sebagai pemain yang betul-betul profesional. 'Professionalism is a strength'," ujar @Nazazli5982. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram