PEMAIN import baharu Johor Darul Takzim (JDT), Takahiro Kunimoto melakukan debut yang menakjubkan semasa skuad bimbingan Esteban Solari meranapkan impian Kelantan FC dengan keputusan 10-0 dalam aksi kedua pusingan 16 terbaik Piala Malaysia pada Sabtu.
Pemain berusia 25 tahun itu diberi peluang beraksi dalam kesebelasan utama dilihat tidak kekok memperkenalkan dirinya di hadapan ribuan penyokong JDT yang hadir ke Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor.
Kunimoto diihat sudah mula mencipta keserasian bersama pemain-pemain JDT terutamanya gandingan di kawasan tengah, Safiq Rahim dan Juan Muniz.
Kunimoto menjaringkan dua gol ketika penampilan debut bersama JDT. — Facebook/JDT
Dalam perlawanan itu, pemain kelahiran Jepun itu berjaya melakukan satu assist dan menjaringkan dua gol pada minit ke-24 dan minit ke-37 permainan.
Malah Solari turut berpuas hati dengan debut Kunimoto yang mempamerkan aksi mantap untuk membantu juara bertahan itu melakar kemenangan penuh bergaya ke saingan suku akhir Piala Malaysia musim ini.
"Bagi saya dia seorang pemain yang baik dan pantas menyesuaikan diri dengan corak taktikal pasukan, walaupun tidak beraksi bagi tempoh 90 minit permainan.
"Dia juga bijak mencari ruang kosong, bertindak pantas selain mampu melakukan hantaran berbahaya selain melakukan bantuan gol kepada rakan sepasukan seperti yang dilakukannya terhadap Bergson pada perlawanan ini," katanya.
Kunimoto sedang menghalang asakan Diogo semasa mewakili Gyeongnam pada 2019. — AFC
Namun adakah anda tahu, sebelum Kunimoto memikat hati peminat JDT, dia terlebih dahulu pernah merobek hati pemain ke-12 Harimau Selatan ketika beraksi bersama kelab Korea Selatan, Gyeongnam FC pada 2019.
Kunimoto yang beraksi dalam kesebelasan utama dengan menyarung jersi nombor 22 menjaringkan gol mudah apabila menewaskan Farizal Marlias pada minit ke-90+4 dalam perlawanan Kumpulan E Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2019.
Kini selepas menjaringkan dua gol buat JDT, penyokong mula jatuh hati dengan corak permainan Kunimoto apatah lagi selepas meraikan jaringan dengan mencium logo Harimau Selatan di dadanya.
Untuk rekod, Kunimoto pernah beraksi bersama Avispa Fukuoka (Jepun), Gyeongnam FC, Jeonbuk Hyundai (Korea Selatan) dan Casa Pia (Portugal) sebelum hadir ke JDT. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram