Malcom, Jing Xuen taruhan kontinjen golf Malaysia buru trofi Putra Cup, Santi Cup


  • Podium
  • Ahad, 20 Ogos 2023

Sebanyak 10 negara terlibat dalam Kejohanan Golf Berpasukan Amatur Asia Tenggara yang berlangsung di Mines Golf Resort.

BULAN kemerdekaan menjadi pembakar semangat buat kontinjen golf amatur Malaysia merebut trofi Putra Cup ke-60 dalam Kejohanan Golf Berpasukan Amatur Asia Tenggara yang berlangsung di Mines Golf Resort bermula 21 hingga 24 Ogos ini.

Kejohanan kali ini mempertaruhkan empat kategori penting iaitu Putra Cup, Lion City Cup, City Cup dan Kartini Cup.

Sebagai rekod, Putra Cup merupakan trofi pertama yang menjadi rebutan pemain golf amatur di rantau ini sejak ia mula diperkenalkan pada 1961 oleh Perdana Menteri Malaysia Pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman.

"Ini adalah harapan saya bahawa sebuah trofi perlu diberikan kepada pemain golf amatur di Asia Tenggara dan saya gembira untuk menaja sebuah piala demi mencapai tujuan ini," tulis Almarhum Tunku pada Januari 1961.

Kejohanan Putra Cup secara rasmi bermula pada 19 Julai 1961 dengan penyertaan enam pasukan termasuk dari Hong Kong, Singapura, Thailand dan Filipina.

Mengambil semangat negara serumpun dan inspirasi Almarhum Tunku, Singapura kemudiannya menaja trofi Lion City Cup untuk kategori junior pada 2004 disusuli Santi Cup yang ditaja Thailand bagi kategori wanita pada 2009.

Tidak mahu ketinggalan, Indonesia juga tampil menaja Kartini Cup untuk kategori junior perempuan yang bermula pada 2013.

200823_Putra Cup_Opening Ceremony_The Mines_TD_ATD_2101

Empat trofi yang menjadi rebutan.

Kini dalam edisi ke-60 Putra Cup yang kembali bersambung selepas terhenti sejak 2020 akibat pandemik, sebanyak 10 pasukan dari rantau Asia Tenggara kembali dengan semangat baharu untuk merebut keempat-empat piala berprestij itu.

Thailand yang merupakan antara kuasa besar golf di rantau ini, tampil dengan misi untuk mempertahankan tiga piala iaitu Lion City Cup, Santi Cup dan Kartini Cup yang dimenangi pada 2019.

Negara Gajah Perang itu tampil dengan bintang junior yang terdiri daripada Kittipong Kamlangklee, Teerawut Boonseeor, dan Siradech Chanha.

Bagi pasukan yang akan mempertahankan Kartini Cup pula dibarisi oleh Achiraya Sriwong, Satonkan Thiengsri dan Prim Prachakorn.

Bagi misi menawan Putra Cup, Thailand mempertaruhkan gandingan Jiradech Chaowarat, Ashita Piamkulvanich, Parin Sarasmut dan Siwakorn Kriangkrai.

Manakala Singapura sebagai juara bertahan bagi Putra Cup tahun yang sama juga tidak ketinggalkan memperkemaskan pasukan mereka.

Gandingan yang akan mempertahankan Putra Cup terdiri daripada Nathen En Quan Tan, Irvyn Sheng Kang Tan, Qi Wen Wong dan Sean Cheng Ee Pang.

200823_Putra Cup_Opening Ceremony_The Mines_TD_ATD_2254

Kontinjen Malaysia yang menyertai Kejohanan Golf Berpasukan Amatur Asia Tenggara.

Malaysia sebagai tuan rumah pada edisi kali ini, tampil dengan barisan pemain yang berkualiti dan berharapan tinggi.

Tumpuan pastinya diberikan kepada pemenang pingat perak Sukan SEA 2023 iaitu Malcolm Ting untuk mengetuai misi membolot kesemua trofi yang dipertandingkan terutamanya Putra Cup.

Selain itu, kehadiran pemenang pingat emas Sukan SEA 2023, Ng Jing Xuen akan memperkukuhkan lagi harapan kontijen Malaysia untuk kejohanan kali ini.

Antara pemain lain yang akan beraksi dalam kategori Putra Cup termasuk Anson Yeo, Nateeshvar Ganesh dan Zia Iqmal.

Bagi misi memburu trofi Lion City Cup, bakat muda seperti Andrew Yap, Muhamad Ajmal Amin Mohd Fajri dan Muhammad Adif Haikal Md Hazan dijadikan sandaran.

Selain Jing Xuen yang diharapkan membolot trofi Santi Cup, dia akan dibantu oleh Wang Xin Yao dan Charlayne Chong Shin Lin.

Manakala gandingan Nur Batrisyia Balqis Abdul Ghani, Ngo Yi Belle, dan Siti Nur Husna Aina Abd Karim Nast diletakkan tanggungjawab untuk membawa pulang Kartini Cup buat Malaysia.

200823_Putra Cup_Opening Ceremony_The Mines_TD_ATD_2178

Presiden MGA, Admiral Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor.

"Kehadiran ramai bakat pada tahun ini amat menakjubkan. Ia menampilkan gabungan bintang profesional dan bakat yang sedang meningkat, sekali gus menjadikan kejohanan kali ini sukar diramal dan mendebarkan," kata Presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA), Admiral Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor.

"Kejohanan Golf Berpasukan Amatur Asia Tenggara sentiasa menjadi peluang untuk pemain berpengalaman dan bakat baharu menonjol.

"Dengan kehadiran Malcom dan Jing Xuen bergaul dengan pemain lain dari rantau ini, menjadikan kejohanan ini amat istimewa," kata Pengarah Kejohanan Teoh Piek Kee yang juga Timbalan Presiden MGA.

Sebagai rekod, Malaysia sudah memenangi Putra Cup sebanyak 10 kali manakala pemenang paling banyak dipegang oleh Filipina iaitu sebanyak 17 kali.

Malaysia tidak pernah memenangi Lion City Cup dan Kartini Cup tetapi berjaya merangkul trofi Santi Cup pada 2013. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram