SEORANG wanita tampil meluahkan rasa kecewa dan geram terhadap tindakan dua pemandu tidak bertanggungjawab yang berlumba di Jalan Kuching, Kuala Lumpur pada Isnin sehingga menyebabkan kereta dipandu suaminya terlibat dalam satu kemalangan pada Isnin.
Syafiqah Afandi, 28, berkata, pada waktu kejadian, dia dan suaminya sedang dalam perjalanan pulang dari Kajang, Selangor ke rumahnya yang terletak di Batu 5, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur sebelum sebuah kenderaan lain tiba-tiba masuk ke lorong kanan jalan dan melanggar sisi kiri kereta dinaiki mereka.
Impak daripada pelanggaran itu menyebabkan kereta jenis Volkswagen Golf dipandu suaminya terbabas ke bahu jalan sebelum melambung dan berpusing beberapa kali.
Tidak cukup dengan itu, kenderaannya yang dinaikinya itu turut dirempuh oleh sebuah kenderaan lain jenis Proton Wira yang berada di lokasi.
Keadaan dua kenderaan yang terlibat dalam kemalangan yang berlaku di Jalan Kuching pada Isnin.
Insiden yang berlaku sekitar pukul 11 malam itu turut dirakam menerusi satu kamera papan pemuka kenderaan yang berada di lokasi.
"Kalau tengok daripada video tersebut, memang ramai yang tanya hidup lagi ke pemandu tu. Tapi alhamdulillah saya dan suami saya bernasib baik ALLAH masih panjangkan umur kami," katanya ketika dihubungi Majoriti.
Syafiqah berkata, ekoran daripada kemalangan itu, suaminya mengalami kecederaan retak di bahagian leher dan dirawat sebagai pesakit luar manakala dirinya dan dua lagi individu yang menaiki kereta Proton Wira terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.
Berdasarkan klip kemalangan dikongsikan itu, dua kenderaan jenis Honda Civic dan Accord dilihat sedang dipandu secara laju dan berbahaya sebelum melanggar kereta dinaiki Syafiqah dan suaminya yang ketika itu sedang berada di lorong kanan jalan.
Kedua-dua kenderaan terbabit juga dilihat lari meninggalkan lokasi kejadian.
Syafiqah memaklumkan dia dan suaminya sudah membuat laporan polis kejadian tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram