[VIDEO] Kereta ditenggelami air, polis sahkan 6 lokasi terjejas banjir di Shah Alam


  • Tular
  • Rabu, 16 Ogos 2023

Tangkap layar situasi banjir berlaku di kawasan seksyen 13 Shah Alam, Selangor pada Rabu.

HUJAN lebat melanda beberapa kawasan di daerah Selangor pada petang Rabu, telah mengakibatkan paras air naik dan banjir di Seksyen 13, Shah Alam, Selangor.

Menerusi perkongsian pengguna Twitter, beberapa buah kenderaan mula ditenggelami air sekali gus menjadi punca kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan.

Setakat pukul 5.00 petang, hujan difahamkan semakin reda namun paras air masih belum surut.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dalam satu kenyataan mengesahkan insiden tersebut dengan enam lagi lokasi dilaporkan turut terjejas dengan kejadian berkenaan.

Berikut merupakan enam kawasan di Shah Alam yang disahkan dilanda banjir setakat pukul 4 petang iaitu laluan jalan Persiaran Sukan Seksyen 13, Bulatan Stadium menghala bangunan Accapela, Surau Munawwarah, lampu isyarat Sultan Abdul Aziz Shah Golf and Country Club (KGSAS), laluan menghala ke kolej Management & Science University (MSU) dan Pangsapuri Perdana.

Dalam pada itu, sepasukan anggota penyelamat telah dihantar ke lokasi berkenaan untuk menjalankan operasi pemantauan dan setakat ini tiada sebarang laporan kecederaan difahamkan berlaku.

Orang ramai diminta sentiasa berhati-hati dengan keadaan sekeliling dan sebarang perkembangan terkini diminta untuk tampil melaporkan kepada pihak polis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram