'Baik ajak saya', TMJ tawar diri jadi tetamu Keluar Sekejap di samping KJ, Shahril Hamdan


  • Podium
  • Selasa, 15 Ogos 2023

Khairy Jamaluddin (kiri) mempunyai hubungan cukup baik bersama TMJ. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

PODCAST dalam talian yang dibangunkan dua bekas ahli Umno, Shahril Sufian Hamdan dan Khairy Jamaluddin kini menjadi satu tarikan hangat bagi pendengar daripada pelbagai latar belakang.

Di samping berjaya menjemput tetamu undangan yang berkaliber, topik yang dikupas mereka juga cukup menarik untuk difahami orang ramai.

Baru-baru ini, mereka memilih untuk menjemput bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kar Ming bagi membincangkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam lokasi.

Antara perkara yang dikupas adalah mengenai peningkatan ketara undian terhadap Perikatan Nasional di Kedah, Negeri Sembilan dan Selangor.

Podcast yang berdurasi melebihi dua jam itu menerima hampir 287,000 tontonan sejak dimuat naik di platform YouTube pada Isnin.

WhatsApp Image 2023-08-15 at 22.23.00

Tangkap layar memaparkan TMJ menawarkan diri untuk hadir ke podcast berkenaan.

Bagaimanapun, apa yang lebih menarik mengenai perbincangan tersebut adalah apabila Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim sempat memberikan cadangan buatnya.

"Baik ajak saya sahaja masuk Keluar Sekejap ni. Tiada tapisan, kasi gegar sedikit negara ni," katanya menerusi satu komen di Instagram peribadi.

Perkara berkenaan dikongsikan Khairy di Instastory dengan ia mencuri tumpuan orang ramai, lebih-lebih lagi dalam kalangan pendengar setia podcast itu.

Tidak boleh dinafikan bahawa TMJ mempunyai hubungan cukup baik dengan bekas Menteri Belia dan Sukan itu dengan Khairy dilantik sebagai Penasihat Belia Johor awal tahun lalu.

Sekiranya jemputan tersebut diterima, ia akan menyaksikan perbincangan lebih hangat diadakan ketika sesi podcast yang kini semakin mendapat perhatian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram