ENAM tahun lepas, skuad kebangsaan Bawah 23 Tahun (B-23) negara pernah mencipta kejutan apabila layak secara merit ke pusingan akhir Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 selepas muncul juara dalam pusingan kelayakan di Bangkok, Thailand pada Julai 2017.
Susulan kejayaan Harimau Muda ketika itu, para pemain menerima RM25,000 daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan RM6,000 diberikan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) yang ketika itu juga menggalas tanggungjawab sebagai Presiden badan induk tersebut.
Ganjaran yang diterima sebelum kempen Sukan SEA 20 2017 di Kuala Lumpur itu bagaimanapun tidak menjadikan pemain besar kepala sebaliknya menjadikan semangat pemain Harimau Muda kian membara untuk meneruskan misi.
Kapten bola sepak B-22 negara, Adib Zainuddin ketika itu berkata, para pemain fokus untuk merampas kembali pingat emas Sukan SEA yang kali terakhir diraih Malaysia pada 2011 di Jakarta, Indonesia selepas penentuan sepakan penalti.
Adib ketika menjadi ketua pasukan B-22 negara. — Agensi
"Kami mengucapkan terima kasih kepada Sultan Johor (Sultan Ibrahim) dan pihak pengurusan FAM kerana memberi imbuhan kepada kami atas kejayaan di Bangkok sebelum ini.
"Kami juga menerima pujian daripada pelbagai pihak dan peminat, dan kami percaya bahawa dengan memberikan yang terbaik dan perlawanan yang positif akan lebih meningkatkan kepercayaan mereka kepada kami," kata Adib pada 11 Ogos 2017.
Ketika itu, dengan hanya empat hari perlawanan pembukaan Sukan Sea menentang Brunei dalam Kumpulan A di Stadium Shah Alam, Adib percaya rakan sepasukannya sudah memberikan yang terbaik dalam latihan sehingga menjadikan tugas Datuk Ong Kim Swee untuk memilih skuad akhir lebih sukar.
Pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur menyaksikan hajat skuad bola sepak B-22 negara untuk mengulangi pencapaian memenangi pingat emas temasya Sukan SEA 2011 tidak kesampaian selepas tewas 0-1 kepada Thailand pada final di Stadium Shah Alam, Selangor.
Selain terpaksa berpuas hati dengan pingat perak, Harimau Muda juga gagal menebus kekecewaan temasya sama pada tahun 2001 yang menyaksikan Malaysia turut tewas 0-1 kepada Thailand. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram