Dua budak nakal JDT boleh jadi teladan jika Kunimoto mahu kekal sarung jersi Harimau Selatan


  • Podium
  • Selasa, 15 Ogos 2023

Kuni masih belum merekodkan penampilan bersama JDT. — Facebook/JDT

SELEPAS beberapa khabar angin dikaitkan dengan Johor Darul Takzim (JDT), pemain tengah dari Jepun, Takahiro Kunimoto akhirnya disahkan sebagai tonggak import baharu Harimau Selatan.

Pemain yang mesra dengan sapaan Kuni itu sebelum ini pernah bermain untuk kelab Portugal Casa Pia di divisyen pertama tetapi terkenal ketika beraksi di Korea Selatan seperti Gyeognam dan Jeonbuk Hyundai.

Kuni yang berusia 25 tahun itu sememangnya terkenal di Jeonbuk selepas dia memenangi dua kejuaraan liga pada 2020 dan 2021 serta Piala FA Korea musim 2020.

Tonggak tengah yang datang dengan reputasi itu bagaimanapun pernah terpalit dengan beberapa isu disiplin sehingga memaksa pihak pengurusan untuk menamatkan kontraknya.

Penamatan kontrak itu berlaku ketika bekas pemain kebangsaan Jepun Bawah 20 tahun (B-20) itu beraksi bersama Urawa Reds Youth (musim 2015) dan Avispa Fukuoka pada musim 2017.

KUNI HYUNDAI

Kunimoto menyarung jersi Hyundai dari musim 2020 hingga 2022. — Agensi

Selain isu disiplin di bumi Matahari Terbit, Kunimoto sekali lagi dikaitkan dengan masalah kontroversi apabila pemain yang pernah digelar sebagai 'Ronaldo Urawa' itu turut ditamatkan kontrak oleh kelab gergasi Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai.

Berdasarkan laman Twitter, Fighting Stripes Football, Kunimoto ditamatkan kontrak lebih awal kerana dirasakan kelakuannya mencalarkan imej Hyundai Motors selepas memandu dalam keadaan mabuk.

Kunimoto yang kini sudah bergelar sebagai pemain Harimau Selatan pastinya ingin memulakan kehidupan baharu dan perlu lebih disiplin bagi mengelakkan diri daripada dikenakan tindakan.

Seperti sebelum ini, Harimau Selatan turut mempunyai dua pemain cukup terkenal dengan masalah disiplin sehingga memaksa pihak pengurusan mengusir mereka.

Berikut dua bekas bintang Harimau Selatan yang boleh jadi teladan untuk Kunimoto mengelak daripada disisihkan JDT;

1) Pablo Aimar

ISI DALAM AIMAR

Aimar ketika menyarung jersi Harimau Selatan. — Facebook/JDT

Legenda Argentina, Pablo Aimar pernah memeriahkan Liga Malaysia (Liga M) dengan menyertai Harimau Selatan pada musim 2013 setelah melalui perjalanan penuh warna-warni di River Plate, Valencia, Real Zaragoza dan Benfica.

Mengikat kontrak selama dua tahun pada Ogos 2013, Aimar yang ketika itu berusia 34 tahun hanya sempat beraksi dalam lapan perlawanan dan menjaringkan dua gol.

Namun jodohnya bersama Harimau Selatan tidak bertahan lama apabila dia terpaksa dilepaskan lebih awal daripada kontraknya berikutan masalah kecederaan.

Meskipun pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim hanya mendedahkan bahawa Aimar sangat susah diuruskan dengan ada laporan berunsur negatif mengatakan dia bersikap diva.

Pemain yang kini berusia 43 tahun itu dikatakan pernah meminta untuk tinggal di Singapura dan berulang-alik ke Padang Seri Gelam bagi menjalani sesi latihan bersama Harimau Selatan.

2) Jorge Pereyra Diaz

DIAZ

Diaz pernah dinobatkan sebagai penjaring terbanyak Liga Super dengan 18 gol. — Facebook/JDT

Jorge Pereyra Diaz adalah penyerang berbisa Harimau Selatan yang telah melengkapkan kegemilangan projek JDT di bawah kendalian bekas pengendali, Mario Gomez pada musim 2016.

Pemain yang disahkan tidak lagi menyarung jersi Harimau Selatan pada 2018 itu dikatakan berpunca daripada sikap kurang profesional Diaz dalam isu lambat melapor diri ke pusat latihan pasukan selepas bercuti.

Perkara itu didedahkan sendiri oleh TMJ yang sangat bertegas mengenai isu disiplin dalam kalangan pemainnya meskipun tonggak tersebut merupakan penyerang berbisa buat Harimau Selatan.

Bintang dari Argentina itu juga pernah enggan membayar tiket yang bukan di dalam kuota tanggungan kelab.

Bukan itu sahaja, TMJ juga kecewa dengan sikap pemain Mumbai City itu yang melepaskan amarahnya di media sosial dan secara umumnya ia memang satu kesalahan bagi mana-mana kelab profesional di dunia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram