Hampir sedekad lalu, JDT pernah hantar ubi muda berguru di Sepanyol dan Itali


  • Podium
  • Rabu, 09 Ogos 2023

Barisan pemain Piala Presiden bagi pasukan JDT pada 2014.— Agensi

SEMBILAN tahun lalu, Persatuan Bola Sepak Johor (Johor FA) pernah menghantar beberapa pemain Piala Presiden pasukan itu untuk menyertai kelab di Sepanyol dan Itali.

Ketika itu, Presiden Johor FA, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim dilaporkan berkata, tujuan program tersebut adalah untuk pembangunan belia agar membangunkan pemain berkemahiran untuk Johor Darul Takzim (JDT).

TMJ dilaporkan berkata, pihak pengurusan Johor FA pemain dipilih adalah dalam kalangan pemain Piala Presiden yang menunjukkan potensi dalam perlawanan persahabatan ketika itu.

"Kami mahu meningkatkan lagi perkembangan mereka dengan menghantar mereka ke kelab di Sepanyol dan Itali.

“Ini adalah sebahagian daripada rancangan jangka panjang kami untuk melatih dan membangunkan pemain muda kami dengan memberi mereka peluang dan pendedahan untuk bermain bersama kelab terkemuka Eropah,” katanya.

ezgif.com-webp-to-jpg (25)

Aksi pemain Piala Presiden Harimau Selatan. Agensi

Tambahnya lagi, Johor FA dilaporkan menghantar pasukan Bawah 12 tahun pasukan itu untuk bertanding di kejohanan di Jepun pada Mac 2015.

"Ia akan menjadi jalan yang baik untuk kanak-kanak kerana akan ada pasukan dari seluruh dunia mengambil bahagian dalam kejohanan itu," katanya dalam laporan tersebut.

Ketika itu, TMJ turut menegaskan Johor FA pernah menganjurkan kejohanan untuk pemain berusia antara lapan dan 14 tahun untuk mengembangkan lagi bakat mereka dan mengambil contoh pasukan Jerman.

“Mereka yang berprestasi baik akan dipilih untuk menyertai program akademi. Jerman mengambil masa antara 10 dan 15 tahun untuk menukar sistem belia mereka. Dengan berbuat demikian, mereka terus memenangi Piala Dunia.

"Kami mahu bermula sekarang dan membentuk pemain ini dari segi fizikal dan mental pada usia yang sangat muda dan melatih mereka untuk menjadi pemain bola sepak yang lebih baik bukan sahaja untuk Johor, tetapi juga untuk Malaysia," ujarnya.

Keprihatinan TMJ sepanjang mengambil alih pasukan Harimau Selatan jelas membawa perubahan drastik yang menjadikan JDT pasukan digeruni sampai sekarang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram