Yee Fatt anggap penyakit sama berulang, Yusri bangga kesungguhan anak-anak buah


  • Podium
  • Khamis, 10 Ogos 2023

Persembahan menarik berjaya ditampilkan kedua-dua pasukan dalam aksi Liga Super di Stadium Ipoh, Perak pada Rabu. — Facebook/Perak FC

SELEPAS mencipta kejutan ke atas Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam aksi Piala Malaysia baru-baru ini, Perak FC sekali lagi meraih kemenangan bermakna kali ini dalam aksi Liga Super pada Rabu.

Beraksi di laman sendiri, skuad The Bos Gaurus (TBG) menerima kunjungan Penang FC yang turut berdepan nasib tidak menentu dalam Liga Super.

Namun, pasukan kendalian Yusri Che Lah bermula dengan langkah kanan apabila kapten pasukan, Luciano Guaycochea meletakkan mereka di hadapan pada minit kelima menerusi satu percubaan kemas dari luar kotak penalti.

Asakan berterusan ke arah kubu gol skuad Harimau Kumbang sekali lagi membuahkan hasil apabila giliran Wan Zack Haikal Wan Noor mencetak jaringan selepas menerima umpanan daripada Seo Seon-ung.

Penang FC bagaimanapun enggan mengalah dengan melakukan beberapa percubaan sebelum penyerang muda, Alif Ikmalrizal sekali lagi muncul wira buat pasukan selepas menggegarkan gawang gol lawan pada minit ke-74.

Tetapi, kemenangan akhirnya berpihak kepada tuan rumah apabila Seon-ung menjaringkan gol ketiga buat pasukannya menerusi satu jaringan kontroversi dengan penyerang kelahiran Korea Selatan itu menerima bola di kedudukan ofsaid.

366660387_301924202387962_5609429598162775268_n

Sentuhan Yusri bersama skuad TBG semakin membuahkan hasil. Facebook/Perak FC

Meskipun terdapat bantahan dibuat anak-anak buah Chong Yee Fatt, pengadil memilih untuk mengesahkan jaringan tersebut, sekali gus memastikan tiga mata milik Perak FC.

Berkata kepada Astro Arena selepas perlawanan, jurulatih kedua-dua pasukan melihat kesungguhan yang dipamerkan memainkan peranan cukup penting kepada keputusan.

Bagi Yusri, penghargaan sewajarnya diberikan kepada pemain yang tidak pernah mengenal erti penat lelah dalam memastikan kemenangan keempat dalam Liga Super berjaya diraih.

"Pada malam ini (Rabu), saya rasa permainan agak kurang daripada sebelumnya, tetapi semangat yang ditunjukkan dengan tidak menyerah kalah diteruskan.

"Saya juga berterima kasih kepada pemain yang memberikan segala-galanya pada malam ini untuk beraksi kerana mereka tahu bahawa kedudukan yang kita tahu sedang cuba melepaskan diri dari zon penyingkiran," katanya.

Jelasnya lagi, cabaran berat menanti skuad TBG untuk aksi Liga Super akan datang apabila mereka bakal berdepan pendahulu liga, Johor Darul Takzim (JDT) di tempat lawan.

362295515_820161626291160_8257076769143556790_n

Kekalahan itu pastinya menjadi satu tekanan buat Yee Fatt dan barisan kejurulatihannya. Facebook/Penang FC

Namun, bagi Yusri, usaha terbaik perlu ditonjolkan meskipun memahami bahawa kekuatan pasukannya tidaklah setanding gergasi bola sepak tempatan yang lain.

Sementara itu, Yee Fatt melihat usaha untuk kembali mengikat perlawanan tidak tercapai memandangkan percubaan itu dibuat terlalu lewat pada separuh masa kedua.

"Kami cuba untuk bangkit, tetapi sedikit perlahan seperti mana dua aksi sebelum ini. Tetapi, kredit perlu diberikan kepada pemain.

"Kita cuba dapatkan sesuatu yang positif, tetapi sayangnya kerana kita dibolosi beberapa minit selepas menjaringkan gol," katanya.

Kekalahan itu menyaksikan kedudukan skuad Harimau Kumbang semakin goyah dalam Liga Super dengan mereka kini hanya berbeza tiga mata dengan Perak FC yang berada di tangga ke-11.

Mereka turut berdepan ujian getir dalam Liga Super selepas ini apabila bakal menerima kunjungan seteru terdekat, KDA FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 22 Ogos. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram