Di sebalik kemenangan Sang Kenari, ada watak penting yang menjadi sebutan


  • Podium
  • Rabu, 09 Ogos 2023

Barisan pemain Sang Kenari meraikan kemenangan sebagai tanda penghargaan di hadapan penyokong Hijau Kuning selepas tamat perlawanan. — Instagram/kedahfc

PASUKAN Kedah Darul Aman (KDA) FC kembali bangkit melupakan kekalahan Piala Malaysia pada Ahad lalu selepas berjaya meraih tiga mata penuh di laman sendiri menewaskan Sri Pahang FC dalam saingan Liga Super.

Aksi perlawanan liga pusingan ke-19 di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah pada Selasa, Sang Kenari yang dibimbing Nafuzi Zain menang 2-0 hasil tandukan dari Ifedayo Olusegun seawal minit keempat dan rembatan tonggak sayap baharu, J.Partiban pada minit ke-42.

Walaupun Sri Pahang mempunyai banyak peluang terhidang pada babak kedua perlawanan namun gol yang dicari-cari gagal diterjemahkan oleh anak-anak buah Fandi Ahmad pada aksi di Darul Aman itu.

Kemenangan keempat berturut-turut Kedah bagi saingan Liga Super itu mengembalikan senyuman penyokong selepas mereka kalah 1-3 di tangan Perak dalam aksi pusingan pertama Piala Malaysia pada Ahad lalu.

Bagaimanapun, kehadiran pemain muda Sang Kenari mencuri tumpuan apabila kerap mencari peluang untuk mengucar-ngacirkan barisan pemain Tok Gajah dan hasilnya dapat diterjemahkan apabila skuad Kedah tidak dibolosi.

WhatsApp Image 2023-08-09 at 17.24.15

Sebahagian aksi pemain Sang Kenari yang berpuas hati dengan persembahan pasukan di laman sendiri. — Instagram/kedahfc

Aksi persembahan yang ditampilkan oleh pemain sayap itu dilihat mampu menggalas tanggungjawab dalam menggerakkan seluruh pasukan tersebut.

Rata-rata penyokong memberikan pendapat mereka mengenai pemain tengah Sang Kenari, Amirul Hisyam Awang Kechik yang menampilkan aksi cemerlang dalam perlawanan tersebut.

"Terbukti kemasukan Amirbek dan Amirul Hisyam banyak mengubah game play Kedah, Amirbek lebih mobile dalam serangan dan Amirul bagi stability kepada defend. Memang ngam," kata Hafizan Lutfi.

"Ada Amirbek dan Amirul auto perform lah Kedah," kata Abe Zarrin.

"Terbaik Amirul Hisyam. Tenang kawal bahagian tengah," kata Afiq Aqif.

Kehadiran pemain sayap itu membuktikan bahawa dia mampu menggerakkan mengubah corak permainan Sang Kenari selain mempunyai kelebihan sebagai ball winning midfielder.

Tentunya, kemenangan di laman sendiri itu dijangka akan membakar lagi semangat pasukan Kedah untuk menewaskan Perak FC dalam saingan Piala Malaysia.

Selepas ini, Kedah kembali berdepan Perak FC dalam aksi timbal balik kedua yang dijadualkan berlangsung di Stadium Darul Aman, Kedah pada 18 Ogos. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram