'Lee Tuck ada tenaga sendiri, Partiban pun ada tenaga dia', Nafuzi pertahan idea, Fandi Ahmad reda Kedah lebih baik


  • Podium
  • Rabu, 09 Ogos 2023

Sebahagian aksi Liga Super antara Kedah dan Sri Pahang pada Selasa. —Facebook/MFL

KETUA Jurulatih Kedah Darul Aman (KDA) FC, Mohd Nafuzi Mohd Zain berharap kecemerlangan pasukannya semasa menentang Sri Pahang FC pada Selasa dapat dikekalkan bagi menghadapi baki-baki perlawanan yang kian mencabar.

Nafuzi berkata, semangat berpasukan dan disiplin tinggi, selain setiap pemain beraksi dengan karakter tersendiri menghasilkan suatu persembahan yang jauh berbeza berbanding ketika pasukan itu tewas 1-3 menentang Perak FC di Ipoh dalam saingan Piala Malaysia pada Khamis lalu.

"Alhamdulillah, tahniah buat pemain, persembahan yang begitu ketara berbeza dengan perlawanan menentang Perak di mana kita banyak memberi ruang kepada Perak,” katanya.

Katanya, untuk menang dalam sesuatu perlawanan, semua pemain perlu berfungsi dengan baik di bahagian masing-masing kerana kelemahan di mana-mana bahagian akan menjejaskan fungsi pasukan secara keseluruhan.

Mengenai J.Partiban yang mengambih alih tugas Lee Tuck sebagai sayap kiri pasukan, Nafuzi berkata, pemain berusia 30 tahun itu mempunyai kelebihan tersendiri dan berjaya membuktikan peranannya dalam KDA FC dengan menjaringkan satu gol.

"Lee Tuck ada tenaga sendiri dan Partiban pun ada tenaga dia, dari segi larian, tetapi saya rasa Partiban telah tunjuk prestasinya dengan menghasilkan satu jaringan dan bermain sehingga 90 minit,” katanya.

Partiban menjaringkan gol pada minit ke-42 dan sebelum itu Ifedayo Olesegun memecah gawang seawal minit keempat.

Sementara itu, Mohd Nafuzi berkata, beberapa kelemahan pasukan terutama di bahagian pertahanan masih perlu diperbaiki.

"Bagi saya walaupun kita menang tapi kita masih lemah di bahagian pertahanan, untuk bersaing dan pergi jauh kita kena lebih kuat dan lebih baik daripada sebelum ini," katanya yang yakin KDA FC mampu menamatkan kedudukan di tempat kedua liga jika mengekalkan prestasi ketika ini.

Sementara itu, pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad berkata, pemainnya bermain dengan baik dan mencipta banyak peluang menjaringkan gol, namun ketiadaan disiplin dalam taktikal menyebabkan mereka tewas di Darul Aman.

"Kita sudah merancang tapi tak menjadi, tapi kita ada peluang untuk dapat gol dan ada beberapa peluang, tapi apa yang saya tahu Kedah bermain lebih baik," katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram