KEDAH Darul Aman (KDA) FC kembali bangkit melupakan kekalahan Piala Malaysia pada Ahad lalu apabila menggembirakan penyokongnya dengan memberikan tiga mata penuh dalam aksi Liga Super menentang Sri Pahang FC pada Selasa.
Dalam aksi di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah, Sang Kenari yang dibimbing Nafuzi Zain menang 2-0 hasil tandukan dari Ifedayo Olusegun seawal minit keempat dan rembatan tonggak sayap baharu, J.Partiban pada minit ke-42.
Tampil mengejutkan penyokong Hijau Kuning, J. Partiban yang dibawa masuk pada jendela perpindahan kedua itu turut menghadiahkan satu gol buat peminat skuad Sang Kenari.
Partiban menjaringkan gol pertama bersama Sang Kenari. — Facebook/MFL
Partiban yang menyarung jersi Hijau Kuning itu merupakan pemain pinjaman untuk membantu Sang Kenari menghadapi baki saingan liga musim ini.
Menerusi satu rakaman video, Partiban sangat berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan oleh Sang Kenari dan gembira dengan jaringan peribadinya sejak bersama KDA FC.
Aksi cemerlang yang ditampilkan dalam perlawanan tersebut merupakan penampilan pertama di Alor Setar.
Dalam rakaman tersebut, Partiban turut menghargai sokongan yang diberikan oleh penyokong Hijau Kuning itu dan berharap akan terus membakar semangat skuad Sang Kenari untuk menghadapi perlawanan seterusnya.
"Saya sangat gembira kerana dapat menjaringkan gol pertama peribadi saya sejak bersama Sang Kenari.
"Saya harap dapat untuk perlawanan seterusnya menentang Perak FC, saya dapat sokongan yang lebih daripada anda semua dan saya yakin kami mampu lakukan untuk pasukan.
"Apa yang paling penting, untuk perlawanan berdepan Perak, saya perlukan anda semua. Pulun Kedah Pulun," katanya.
Tentunya, kemenangan di laman sendiri itu dijangka akan membakar lagi semangat pasukan Kedah untuk menewaskan Perak FC dalam saingan Piala Malaysia.
Selepas ini, Kedah kembali berdepan Perak FC dalam aksi timbal balik kedua yang dijadualkan berlangsung di Stadium Darul Aman, Kedah pada 18 Ogos.
Dalam aksi timbal balik pertama sebelum ini, Kedah tewas 1-3 kepada The Bos Gaurus. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram