Perak diramal kutip tiga mata, saingan minggu 19 Liga Super undang debaran fans Sabah-JDT


  • Podium
  • Rabu, 09 Ogos 2023

Sabah FC dilihat antara pasukan yang konsisten dalam memberikan saingan kepada JDT. — Facebook/JohorSouthernTigers

PERLAWANAN Liga Super 2023 minggu ke-19 pada Rabu bakal menyaksikan pertembungan melibatkan enam buah pasukan.

Pastinya, aksi pertembungan antara pendahulu Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) dengan Sabah FC akan menjadi tumpuan seluruh penyokong bola sepak tanah air.

Pertembungan di Stadium Likas itu dianggap sebagai aksi tumpuan minggu ini kerana kedua-dua pasukan boleh diibaratkan sebagai musuh tradisi baharu dalam arena bola sepak tempatan.

Selain itu, perlawanan membabitkan dua kelab yang berpangkalan di Utara tanah air, iaitu Perak FC dan Penang FC juga sedang menjadi bualan hangat dalam kalangan penyokong tegar kelab masing-masing.

Satu lagi perlawanan menarik yang turut dinanti-nantikan peminat adalah pertembungan antara Kelantan FC dengan Negeri Sembilan FC yang dijadualkan berlangsung di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, Kelantan.

Sehubungan itu, dua wartawan sukan Majoriti iaitu Rahmi Jumriati Jono dan Nabil Aiman memberikan ramalan mereka terhadap ketiga-tiga perlawanan pada Rabu:

1. Sabah FC vs JDT

Sabah FC vs JDT

JDT diramalkan tidak akan mempunyai masalah untuk menewaskan Sabah pada malam Rabu. — Facebook/JohorSouthernTigers

Rahmi Jumriati (Sabah 1-2 JDT)

Meskipun Leandro Velazques dan Fernando Foreistieri mengalami kecederaan namun skuad depth JDT membuatkan Esteban Solari tidak mempunyai masalah untuk tewaskan Sabah.

Malah, sebelum ini legenda bola sepak, Jamal Nasir juga mengatakan pendapatnya bahawa walaupun JDT turun dengan skuad kedua mereka, mereka masih boleh meraih kemenangan.

Gabungan Heberty Fernandes dan Bergson Da Silva akan menjadi ancaman buat benteng pertahanan The Rhinos malam ini.

Saya masih berharap ada sinar untuk Sabah menjadi pasukan pertama untuk kalahkan JDT dengan sokongan padu dari penyokong The Rhinos diharapkan dapat membantu tewaskan JDT atau mencatat seri.

Nabil Aiman (Sabah 1-0 JDT)

Sabah berpeluang untuk menewaskan JDT di halaman sendiri selepas beberapa tonggak utama Harimau Selatan mengalami kecederaan.

Dengan ketiadaan Leandro Velazques dan Fernando Foreistieri pastinya merencatkan sedikit taktikal yang selalu diterapkan Esteban Solari.

Sokongan padu yang ditunjukkan penyokong Sabah juga menjadi faktor buat anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee untuk melakarkan sejarah baharu menewaskan JDT musim ini.

2. Perak FC vs Penang FC

Perak FC vs Penang FC

Kebangkitan Perak untuk pusingan kedua liga ini tidak boleh dipandang rendah. — Facebook/Perak FC

Rahmi Jumriati (Perak 2-1 Penang)

Sejak kemenangan pada pusingan pertama Piala Malaysia, kekuatan skuad The Bos Gaurus (TBG) di bawah sentuhan Yusri Che Lah tidak boleh dipandang rendah.

Kemenangan tersebut menjadi pembakar semangat kepada pemainnya untuk meraih keputusan positif dan seterusnya meraih kemenangan di laman sendiri.

Malah, prestasi tidak menentu dan benteng pertahanan yang kurang efisen dari Penang FC mungkin akan memudahkan untuk jentera Perak melakukan serangan.

Nabil Aiman (Perak 2-1 Penang)

Kebangkitan Perak untuk pusingan kedua liga ini tidak boleh dipandang rendah lagi apabila mereka berjaya menewaskan Kedah Darul Aman FC baru-baru ini.

Percaturan taktikal yang direncana Yusri Che Lah bakal menjadi penentu perlawanan malam ini (Rabu) sama ada mereka mampu mengutip tiga mata penuh di halaman sendiri.

Keputusan perlawanan dijangka menyebelahi Perak kerana prestasi yang tidak menentu oleh Penang FC.

3. Kelantan FC vs Negeri Sembilan FC

Perlawanan Kelantan-Negeri Sembilan pastinya menjadi tumpuan ramai selepas Youssef Ezzejjari dijangka diturunkan pada Rabu. — Agensi

Rahmi Jumriati (Kelantan 0- 1 Negeri Sembilan)

Jika dilihat pada corak permainan Negeri Sembilan dalam dua perlawanan kebelakangan ini, mereka mencatatkan seri dan meraih satu mata pada penghujung babak perlawanan.

Manakala, Kelantan pula sering turun dengan çorak permainan open game seperti ketika menentang JDT baru-baru ini.

Namun Kelantan dikhabarkan akan turun tanpa import baharu dan perkara itu sedikit sebanyak mengganggu pasukan itu untuk tampil lebih cemerlang menentang Negeri Sembilan.

Namun, pasukan berkenaan masih ada beberapa pemain yang boleh diharapkan superti Herold Goulan, Shahrel Fikri dan Sean Eugene Selvaraj.

Nabil Aiman (Kelantan 0-2 Negeri Sembilan)

Perlawanan ini pastinya menjadi tumpuan ramai penyokong Kelantan selepas pemain import yang diumumkan, Youssef Ezzejjari dijangka diturunkan malam ini (Rabu).

The Red Warriors dikhabarkan masih belum boleh menurunkan pemain import selepas terdapat beberapa masalah yang belum diluluskan lagi oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Rekod cemerlang Ezzejjari pastinya memberikan kelebihan buat bekas penjaring terbanyak Liga Indonesia ini membantu Negeri Sembilan mengutip tiga mata penuh. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram