AKSI pertembungan antara pendahulu Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) dengan Sabah FC pada Rabu ini terus menjadi tumpuan seluruh penyokong bola sepak tanah air.
Apatah lagi, tiket perlawanan bagi menyaksikan perlawanan itu dikhabarkan sudah laris terjual sejak Ahad.
Pertembungan yang dianggap sebagai aksi tumpuan minggu ini sudah pastinya akan menjadi bualan dalam kalangan penyokong kerana kedua-dua pasukan itu juga boleh diibaratkan sebagai musuh tradisi baharu dalam arena bola sepak tanah air.
Malah, Sabah FC pernah dikatakan antara pasukan terkuat yang mampu memberi saingan hebat kepada kelab yang berpangkalan di Selatan tanah air itu.
Jika melihat kepada beberapa siri perlawanan sebelum ini, terdapat beberapa perlawanan yang pernah dicemari dengan insiden panas melibatkan pemain ataupun pasukan itu sendiri.
Berikut Majoriti imbau semula tiga kontroversi hangat yang dipamerkan dalam aksi Sabah-JDT sebelum ini yang mendapat perhatian seluruh penyokong bola sepak negara.
1. Kim Swee minta lihat semula ulangan video gol pertama JDT

Kim Swee meminta agar pegawai perlawanan melihat semula ulangan video berhubung insiden kontroversi gol pertama JDT pada perlawanan itu.
Aksi Liga Super pada 31 Mac lalu menjadi hangat apabila Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee meminta agar pegawai perlawanan melihat semula ulangan video berhubung insiden kontroversi gol pertama JDT pada perlawanan itu.
Ini kerana, gol pertama JDT itu kelihatan seolah-olah pemain import, Fernando Forestieri berada pada kedudukan ofsaid sebelum gol berkenaan disudahkan penyerang Arif Aiman pada minit ke-20 perlawanan.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) itu menyaksikan skuad Harimau Selatan berjaya membaham The Rhinos dengan keputusan 4-0, sekali gus mematahkan rekod tanpa kalah skuad Badak.
Sementara itu, Kim Swee turut mengakui kekalahan tersebut adalah berpunca daripada kegagalan mengawal permainan seperti dirancang, selain kerap memberi ruang kepada pihak lawan.
2. Insiden baling botol di Likas

Tangkap layar memaparkan situasi penyokong yang bertindak di luar kawalan di Stadium Likas pada tahun lalu.
Pasukan Sabah FC memohon maaf kepada peminat dan pasukan JDT atas tingkah laku buruk penyokong mereka yang membaling botol air ke arah padang serta kawasan teknikal di tepi padang dalam pertembungan di Stadium Likas, Sabah pada Julai tahun lalu.
Pengurus pasukan Sabah FC, Ahmad Marzuki Nasir berkata, apa jua yang berlaku semasa permainan di atas padang, tidak boleh dijadikan justifikasi terhadap kelakuan buruk itu dan turut berharap agar insiden berkenaan tidak akan berulang pada masa hadapan.
Dalam pertembungan Liga Super di stadium keramat skuad Sang Badak itu, pasukan kendalian Kim Swee tumpas 2-1 sekali gus menyebabkan segelintir penyokong bertindak di luar kawalan sehingga terjadinya insiden buruk tersebut.
3. Amri Yahyah gagalkan penalti Bergson
Antara momen yang tidak boleh dilupakan pada aksi perlawanan JDT dan Sabah ialah aksi nakal Amri Yahyah yang merosakkan permukaan padang di titik sepakan penalti sebelum sepakan diambil Bergson pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia pada November lalu.

Aksi nakal Amri Yahyah pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia November lalu.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Likas berkenaan, pemain berusia 41 tahun itu dilihat merosakkan titik sepakan penalti dengan menggunakan kakinya sebelum penalti dilakukan Bergson sekali gus menyebabkan prospek utama JDT itu gagal menjaringkan gol.
Video taktik rahsia Amri itu turut tular di media sosial dengan dia juga dilihat dilayangkan kad kuning oleh pengadil selepas melakukan tindakan itu.
Tidak dapat dipastikan sejauh mana tindakan Amri itu berjaya 'memerangkap' Bergson daripada melakukan sepakan lebih baik dan sama ada kebetulan atau sebaliknya, sepakan pemain dari Brazil itu diselamatkan Damien yang menggalas tugas sebagai penjaga gol utama Sabah pada waktu itu.
JDT membawa pulang bekalan hasil kemenangan 1-0 pada perlawanan tersebut dengan jaringan tunggal perlawanan dihasilkan Arif Aiman pada minit ke-34 sebelum kedua-dua pasukan bertemu semula pada aksi timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim.
Pada aksi kedua, JDT mara ke pusingan seterusnya dengan kemenangan mutlak 3-1 (agregat 4-1) dan akhirnya menjulang Piala Malaysia untuk melengkapkan gelaran treble pada musim lepas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
