Dibelenggu kecederaan, bek Sabah antara 3 bintang makin malap selepas bersinar awal musim


  • Podium
  • Isnin, 07 Ogos 2023

Shahrel Fikri memulakan kariernya bersama skuad Jang dengan cukup cemerlang. — Facebook/Negeri Sembilan FC

KONSISTENSI merupakan salah satu elemen penting dalam dunia bola sepak untuk menentukan sekiranya seorang pemain mempunyai masa depan cerah sepanjang kariernya.

Bagi seorang penyerang, statistik dari segi jaringan dan bantuan gol merupakan satu kayu ukur yang terbaik memandangkan ia adalah tugasan utama diberikan setiap kali mereka berada di atas padang.

Jika hendak menilai seorang pemain pertahanan pula, jumlah gol yang dilepaskan merupakan sesuatu perkara penting untuk diperhatikan, baik dari segi seorang bek mahupun bagi seorang penjaga gol.

Tetapi, kesukaran untuk mengetahui kecemerlangan seorang pemain tengah terus menjadi debat dengan perubahan taktikal mampu memberikan kesan buruk terhadap sumbangan mereka dari segi pertahanan mahupun serangan.

Bagaimanapun, penilaian tersebut adalah cukup penting untuk dibuat dalam proses mengkategorikan sama ada seorang pemain wajar dilabel sebagai sukses atau sebaliknya.

Perkara berkenaan juga dapat disaksikan dalam arena bola sepak negara apabila seorang pemain sering berdepan cabaran untuk meneruskan prestasi cemerlang setiap kali perubahan musim berlaku.

Selain usia mereka semakin lanjut, pertukaran taktikal daripada pihak kejurulatihan dan kehadiran wajah-wajah baharu juga memberi kesan sehingga persembahan masing-masing terjejas kian tahun.

Namun, terdapat juga situasi yang mana seseorang pemain gagal untuk memberikan impak konsisten memasuki penghujung musim yang mana merupakan salah satu perkara yang paling mengecewakan jika hendak ditanyakan kepada penyokong.

Masalah berkenaan turut dapat disaksikan musim ini apabila terdapat beberapa yang bergelut memasuki pertengahan musim meskipun berjaya mencuri perhatian pada awalnya di posisi masing-masing.

Berdasarkan pemerhatian Majorirti, terdapat tiga pemain yang bergelut dengan isu konsistensi sehingga menyaksikan sumbangan mereka terus dirindui pasukan, sekali gus menciptakan kehampaan.

1. Shahrel Fikri

Struktur kewangan yang sedikit lemah menyaksikan Negeri Sembilan FC terpaksa membawa masuk pemain tempatan dengan hanya beberapa import sahaja mampu disambar pihak pengurusan kelab.

Di samping itu, situasi itu juga menyaksikan mereka membawa seseorang dengan kualiti yang terhad memandangkan mereka tidak mempunyai permintaan gaji yang lebih tinggi berbanding yang lain.

Salah seorang yang disambar pasukan itu ialah bekas penyerang tempatan, Shahrel Fikri yang sudah lama tidak beraksi dalam Liga Super akibat kecederaan jangka masa panjang yang dialaminya.

2006356

Shahrel Fikri dilaporkan sekali lagi terlibat dengan masalah kecederaan. Facebook/Negeri Sembilan FC

Pemain yang disambar dari Selangor FC tersebut memulakan kariernya bersama skuad Jang dengan cukup baik apabila dia mudah menggegarkan pintu gol lawan sejak awal musim lagi.

Ia dapat dibuktikan apabila penyerang berusia 28 tahun itu menjaringkan satu gol dan mencipta dua bantuan jaringan dalam lima penampilan awalnya dalam Liga Super bersama Negeri Sembilan FC.

Bagaimanapun, rekod tersebut tidak dapat diteruskan sehingga kini apabila dia sekali lagi dilaporkan bergelut dengan isu kecederaan sejak kali terakhir beraksi menentang Kuala Lumpur (KL) City FC sebagai pemain simpanan.

Isu tersebut menyaksikan Shahrel gagal meneruskan permulaan musim yang baik apabila dia hanya menjaringkan lima gol dalam 12 penampilan setakat ini dengan kehilangannya terus dirasai skuad kendalian K Devan itu.

2. Soony Saad

Beberapa hari selepas jendela perpindahan kedua Liga Super dibuka, penyokong Penang FC menerima berita buruk apabila diumumkan penyerang mereka, Giovane Gomes tidak akan lagi bersama pasukan itu untuk baki musim 2023.

Kehilangannya dijangka akan mencalarkan pulangan jaringan skuad Harimau Kumbang dengan pasukan itu tidak melakukan aktiviti membawa masuk pemain secara aktif.

Tidak cukup dengan itu, mereka turut terpaksa berputih mata apabila melihat pemain sayap import, Soony Saad turut bergelut untuk memberi impak berterusan.

362981264_819448369695819_1606545742373398227_n

Soony boleh dianggap sebagai tonggak utama skuad Harimau Kumbang musim ini. Facebook/Penang FC

Selepas mencipta nama sebagai salah seorang pemain sayap terbaik dalam liga apabila mudah menyesuaikan diri dengan dua gol daripada lima penampilan awal.

Bagaimanapun, harapan penyokong untuk menyaksikan pemain antarabangsa Lubnan itu untuk beraksi konsisten sepanjang musim tidak kesampaian.

Selepas dilaporkan terlibat dengan masalah kecederaan, penyerang tersebut lebih kerap diletakkan di bangku simpanan, sekali gus menyebabkan pulangan gol mereka terus tercalar.

Lebih merisaukan lagi, kelab Utara tanah air itu juga tidak memilih untuk mencari seorang pengganti, sekali gus memaksa pihak kejurulatihan untuk menurunkan pemain sayap berbeza.

3. Cifu

Meskipun Kelantan FC berdepan masalah kewangan sejak awal musim, seorang pemain import, Miguel Cifuentes beraksi dengan cukup baik.

Walaupun lebih selesa untuk beraksi sebagai seorang bek sayap, ketiadaan seorang penyerang memaksanya untuk menggalas tanggungjawab berat itu.

Tugasan tersebut dijalankan dengan baik apabila bekas pemain Malaga CF itu muncul sebagai penjaring terbanyak pasukan dengan empat gol dalam 13 penampilan.

2198982

Isu kecederaan menghantui karier Cifu bersama skuad Sang Badak. Facebook/Sabah FC

Bagaimanapun, dengan masalah kebajikan terus menghantui pasukan berkenaan, Cifu akhirnya memilih untuk menamatkan kontraknya bersama kelab itu untuk membolehkannya mencari majikan baharu.

Statistik menakjubkannya bersama skuad The Red Warriors (TRW) memaksa Sabah FC untuk tidak berfikir panjang untuk membawanya masuk meskipun memiliki lambakan pilihan di posisi itu.

Tetapi, isu kecederaan sekali lagi menghantui apabila pemain berusia 32 tahun tersebut gagal untuk memberi sebarang impak sepanjang bersama kelab Borneo itu.

Setakat ini, Cifu hanya beraksi sebanyak sekali dalam Liga Super bersama skuad Sang Badak dengan tiada catatan jaringan direkodkan buatnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram