SABAH FC membuka tirai kempen Piala Malaysia dengan kemenangan bergaya selepas membenam Kuching City FC pada perlawanan pusingan ke-16 di Stadium Negeri, Kuching pada Sabtu.
Kelompongan dan kepincangan Kuching City dapat diterjemahkan selepas skuad Sang Badak menang bergaya dengan keputusan 3-0.
Dalam perlawanan tersebut, skuad Sang Badak memberi amaran seawal minit keempat apabila penyerang import kelahiran Brazil, Ramon Machado de Macedo menerusi rembatan kencang membuka tirai jaringan untuk menjadi pendahulu perlawanan.
Import baharu Sabah FC, Ramon Machado mencetak dua gol peribadi dalam saingan Piala Malaysia 2023. — Instagram/MFL
Selang tiga minit, pemain kelahiran Brazil itu menambah jaringan kedua peribadi dalam saingan Piala Malaysia menerusi tandukan selepas menerima hantaran bantuan daripada pemain pertahanan kiri, Ko Kwang-min.
Tidak mahu ketinggalan untuk meraih gol, The Rhinos terus menjarakkan jurang dengan jaringan ketiga daripada pertahanan sayap, Daniel Ting pada minit ke-15.
Masih mahu memberikan tekanan, percubaan jentera serangan The Cats berjaya dipatahkan oleh pertahanan Sang Badak, Gabriel Peres pada minit ke-27.
The Rhinos mengekalkan keputusan 3-0 pada babak kedua sehingga wisel tamat dibunyikan pengadil perlawanan.
Rata-rata penyokong memuji aksi persembahan yang ditampilkan oleh pemain import berbisa Sabah FC, Ramon Machado.
"Akhirnya, Sabah dapat seorang striker yang padu, jaga baik-baik nanti kena intai. Biarlah dia pencen di Sabah sahaja," kata Harith Adam.
"Hebat Ramon ni hari, kaki dan kepala boleh tahan sama hebatnya," kata Mohd Badrul Bagul.
"Mantap Ramon masa pertama, sudah gol minit keempat dan keenam. Good luck Sabah FC. Radu Tatap Radu," kata Nikenji Ly.
"Padu import baharu ni, Ramon Machado," kata Syafnan Zain.
Selepas ini, Sabah akan melayan kunjungan Johor Darul Takzim (JDT) dalam saingan Liga Super 2023 (9 Ogos) sebelum aksi timbal balik Piala Malaysia berdepan Kuching City yang dijadualkan berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada 19 Ogos depan.
Dengan prestasi mantap Ramon, pastinya penyokong mengharapkan kecemerlangan itu diteruskan ketika bertemu JDT nanti, sekali gus mencatat nama sebagai pemain yang mampu merobek gawang Harimau Selatan.
Setakat ini, hanya tiga kelab iaitu Kelantan FC, KL City dan Terengganu yang berjaya meruntuhkan tembok kebal JDT walaupun kesemua kelab itu tewas dengan penyandang juara Liga Super itu.
Dalam pertemuan pada Mac lalu, Sabah ditundukkan 0-4 apabila bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim dan pastinya perlawanan timbal balik di tempat sendiri sebagai medan buat Datuk Ong Kim Swee membalas dendam, sekali gus mencalar rekod tanpa kalah JDT dalam semua saingan Liga Malaysia setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram