Stadium Likas 'full house' lawan JDT tapi Pak Karim ada pesanan untuk pemain ke-12


  • Podium
  • Isnin, 07 Ogos 2023

Musim ini, Tae-su sudah mencetak enam jaringan gol dan satu hantaran bantuan dalam 18 perlawanan Liga Super. — Facebook/SabahFC

KETERUJAAN penyokong Sabah FC untuk menyaksikan perlawanan getir di menentang pendahulu Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) tidak dapat disangkal lagi apabila tiket perlawanan tersebut sudah habis dijual.

Berdasarkan hantaran di media sosial rasmi The Rhinos, semua tiket yang dijual secara dalam talian sudah habis dijual dan kali ini pihak Sabah FC tidak membuka untuk jualan tiket secara fizikal kepada penyokong yang ingin menyaksikan perlawanan di Stadium Likas itu.

"Untuk pengetahuan, tiket perlawanan menentang JDT pada Rabu ini sudah habis dijual. Tidak ada tiket fizikal akan dikeluarkan," kata perkongsian di akaun Facebook Sabah FC.

Kedatangan penuh dari pemain ke-12 Sabah FC itu sememangnya bakal menjadi penyuntik semangat untuk skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee berjumpa juara bertahan Liga Super tersebut.

The Rhinos yang sebelum ini tewas 0-4 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 31 Mac lalu pasti berhasrat untuk menjadikan perlawanan di laman sendiri itu untuk menebus kekalahan pahit tersebut.

Oleh itu, tidak hairanlah jika penyokong setia Sabah FC berebut-rebut untuk mendapatkan tiket perlawanan berkenaan untuk memberi motivasi dan melancarkan perang psikologi ke atas pemain JDT.

WhatsApp Image 2023-08-07 at 16.38.08-2

Tangkap layar komen daripada Tae-su.

Semangat penyokong The Rhinos menjelang perlawanan penting tersebut juga menarik perhatian kapten Sabah FC, Park Tae-su yang memuji para penyokong atau pemain ke-12 Sabah atas sokongan mereka.

Namun, tonggak yang mesra dengan sapaan Pak Karim dalam kalangan penyokong Sabah itu juga sempat memberi pesanan kepada para penyokong agar turut memberi sokongan kepada The Rhinos pada perlawanan lain.

“Wow. Mantap tapi janganlah hanya JDT saja,” kata Tae-su yang berharap Stadium Likas akan turut dibanjiri penyokong pada aksi menentang pasukan lain.

Selepas pemergian Baddrol Bakhtiar, Tae-su sering mendapat kepercayaan Kim Swee untuk mengetuai Sabah FC di atas padang dan dia juga antara import kesayangan The Rhinos sejak dia menyertai Sabah pada musim 2019.

Musim ini, pemain dari Korea Selatan itu sudah mencetak enam jaringan gol dan satu hantaran bantuan dalam 18 perlawanan Liga Super.

Kali terakhir JDT bertandang ke gelanggang skuad Sang Badak itu ialah pada aksi Liga Super musim lalu, iaitu pada 15 Julai 2022 yang menyaksikan Sabah tewas tipis 1-2. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram