Tiket Sabah-JDT 'sold out', pemain ke-12 sanggup kongsi kerusi demi lencana di dada


  • Podium
  • Isnin, 07 Ogos 2023

Kesebelasan utama Sabah ketika lawan Kuching City dalam Piala Malaysia baru-baru ini. — Facebook/Sabah FC

AKSI di antara Sabah FC dan Johor Darul Takzim (JDT) pastinya bakal menjadi tumpuan seluruh penyokong bola sepak negara ini selepas tiket perlawanan dikhabarkan sudah habis dijual.

Sabah sudah pastinya ingin membalas dendam kepada JDT atas kekalahan 0-4 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 31 Mac lalu.

Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee kini dalam momentum terbaik apabila hanya tewas sekali dalam lima perlawanan terakhir dan menang besar ketika bertemu Sri Pahang FC dan Kuching City FC.

Kemasukan pemain import baharu, Ramon Machado pastinya akan menjadi taruhan Kim Swee untuk memastikan The Rhinos pulang dengan tiga mata penuh.

Pemain import kelahiran Brazil itu tidak menunggu lama menarik perhatian penyokong Sabah apabila dia sudah pun meledak empat gol dalam empat perlawanan Liga Super.

SOLD OUT

Tiket perlawanan dilaporkan sudah habis dijual. — Facebook/Sabah FC

Sabah menerusi laman Facebook rasmi mengesahkan tiket perlawanan yang akan berlangsung pada Rabu itu sudah habis dijual.

Namun begitu, penyokong Sang Badak tidak menunjukkan reaksi yang kecewa malah terus bersemangat untuk menyokong pasukan kesayangan mereka walaupun terpaksa berkumpul di luar stadium.

"Tidak mustahil kekuatan penonton ke stadium akan menguatkan lagi semangat pemain Sabah FC untuk terus berjuang," kata Alonk Haizeq.

"Kalah menang sudah pasti, tapi pastikan Sabah FC melawan hingga ke titisan peluh yang terakhir," ujar Bran Larry.

STADIUM LIKAS

Stadium Likas bakal menyaksikan pertembungan epik antara Sabah dan JDT.

Tetapi apa yang menarik cadangan daripada seorang penyokong yang mahu kerajaan negeri memperbaiki dan memperluaskan kapasiti Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah demi keuntungan orang ramai.

"Peminat Sabah FC makin ramai, harap kerajaan dapat besarkan lagi Stadium Likas, ramai datang banyak untung," jelas Encik Man Rawi.

"Tolong buka tiket fizikal, kami Sabahan ini sanggup kongsi kerusi demi Sabah FC," luah Duli Rose Tina. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram