'Mainlah dekat mana pun, JDT akan kekal tewaskan team tuan rumah'


  • Podium
  • Rabu, 09 Ogos 2023

Sebelum ini Sabah tewas tipis 1-2 pada aksi JDT berkunjung di Stadium Likas pada 15 Julai 2022. — Facebook/SabahFC

PERLAWANAN Johor Darul Takzim (JDT) menentang Sabah FC menjadi antara aksi Liga Super yang ditunggu-tunggu oleh penyokong bola sepak tanah air pada minggu ini dengan kedua-dua pasukan mempunyai reputasi tersendiri.

Menjelang aksi getir menghadapi pendahulu Liga Super itu, penyokong juga tidak melepaskan peluang untuk turun memberikan sokongan dan ia dapat dibuktikan apabila semua tiket yang dijual sudah habis dibeli oleh penyokongnya.

Stadium Likas yang mempunyai kapasiti lebih 20,000 penonton itu bakal dibanjiri ribuan penyokong Sabah FC dan ia sememangnya bakal menjadi penyuntik semangat untuk skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee berjumpa juara bertahan Liga Super tersebut.

Likas sememangnya dikenali sebagai gelanggang keramat Sabah FC yang mana The Rhinos tidak pernah mencatat kekalahan sepanjang lapan aksi Liga Super diadakan setakat ini di laman tersebut.

Oleh itu tidak hairanlah jika terdapat pemain ke-12 Sabah percaya bahawa The Rhinos mampu mengejutkan JDT di Likas dan tidak kurang juga ada penyokong yang berfikir sebaliknya.

Tampil mengulas perlawanan tersebut, bekas pemain bola sepak negara, Datuk Jamal Nasir mempunyai pandangan berbeza daripada penyokong apabila mengatakan bahawa skuad Harimau Selatan pasti tidak mempunyai masalah untuk menumpaskan The Rhinos di Likas.

isi jdt

JDT masih kekal mengungguli carta Liga Super setakat 18 perlawanan musim ini. — Facebook/SabahFC

Legenda bola sepak tempatan era 70-an itu menyifatkan bahawa skuad kendalian Esteban Solari itu sentiasa menunjukkan permainan yang konsisten sejak perlawanan pertama pada musim ini.

"Mainlah dekat mana pun, JDT akan kekal tewaskan team tuan rumah. Sabah masih macam yoyo, ada menang ada kalah dan tidak konsisten dalam permainan mereka. Dari segi perlawanan Liga Super ini, saya masih meramalkan JDT menang all the game.

"Pasukan mereka sempurna dari penjaga gol, pertahanan, pemain tengah dan penyerang. Mereka tidak akan kalah dengan pasukan lain. Pasukan lain masih tercari-cari nak bentuk kesesuaian permainan dan tidak ada konsistensi," katanya kepada Majoriti.

Menurutnya, meskipun Harimau Selatan akan hadir dengan skuad kedua mereka, juara Piala FA 2023 itu masih mampu menewaskan Sang Badak berikutan kualiti yang ada pada barisan pemain simpanan mereka.

Katanya lagi, sekalipun Sabah FC tampil mempertaruhkan import baharu, Ramon Machado sebagai penyerang utama namun ia masih belum mampu menandingi kekuatan keseluruhan pemain JDT.

sabah main pic

Barisan pemain JDT sekitar latihan Sabah FC. — Facebook/SabahFC

Sebelum ini, penyokong The Rhinos mempunyai keyakinan bahawa import baharu dari Brazil itu akan menjadi tunjang utama untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata pada perlawanan menentang Harimau Selatan.

"Kesefahaman pemain mereka amat baik dari segi one touch football dan passing. Lawan memang pening nak jaga. No team can touch JDT at this moment.

"Letaklah penyerang bagus pun kalau pasukan itu tiada satu kombinasi kesefahaman yang baik dengan pasukan, tak boleh juga. Bola sepak adalah permainan berpasukan. Seorang tidak boleh menentukan kemenangan. Ramon satu tak cukup, dia tak boleh buat apa-apa," tambahnya.

The Rhinos yang sebelum ini tewas 0-4 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 31 Mac lalu pasti berhasrat untuk menjadikan perlawanan di laman sendiri itu untuk menebus kekalahan pahit tersebut.

Manakala, kali terakhir JDT bertandang ke gelanggang skuad Sang Badak itu ialah pada aksi Liga Super musim lalu, iaitu pada 15 Julai 2022 yang menyaksikan Sabah tewas tipis 1-2. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram