Tonggak TBG persis sayap Tottenham antara 3 'turning point' Perak perlu diawasi Harimau Kumbang


  • Podium
  • Rabu, 09 Ogos 2023

Penang akan berkunjung ke venue Perak FC dalam aksi Liga Super pada Rabu. — Facebook/PenangFC

PERLAWANAN pusingan pertama Piala Malaysia yang menyaksikan Perak FC membuat kejutan menewaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dengan kemenangan 3-1 membuatkan skuad The Bos Gaurus semakin mencuri perhatian penyokong bola sepak tanah air.

Kemenangan tersebut membuatkan pasukan lain tidak boleh memandang rendah kekuatan yang ada pada skuad Seladang tersebut berikutan kemenangan dengan jaringan besar dicetak ke atas pasukan gergasi seperti Kedah.

Mana tidaknya, jika dilihat pada statistik Liga Super menyaksikan Perak dibezakan dengan 27 mata dan menghuni kedudukan ke-11 namun masih mampu mengejutkan skuad Sang Kenari yang berada di tangga ketiga.

Oleh itu, tidak hairanlah jika ada penyokong Penang FC yang berharap agar Harimau Kumbang akan lebih waspada dengan ancaman yang akan ditampilkan oleh skuad Seladang menjelang aksi Liga Super pada Rabu.

Berdasarkan pemerhatian Majoriti, jika Penang FC ingin mengelak daripada berputih mata ketika berkunjung di laman Perak FC, berikut tiga turning point TBG yang perlu diawasi Harimau Kumbang;

1) Kebangkitan ubi muda

hakimi main

Hakimi antara pemain muda semakin meningkat dalam Perak FC. — Facebook/Perak

Hakimi Mat Isa adalah ubi muda Perak FC yang semakin meningkat naik dan mencuri perhatian barisan kejurulatihan untuk menaikkan pangkatnya dari skuad simpanan ke pasukan utama TBG.

Penyerang berusia 22 tahun itu sudah diberikan peluang dalam empat perlawanan Liga Super dan Hakimi juga membalas kepercayaan jurulatih dengan memberi sumbangan hantaran bantuan pada aksi menentang Kuching City.

Tidak cukup dengan aksi pada saingan Liga Super, jaringan pada babak akhir perlawanan pusingan pertama Piala Malaysia menentang Kedah itu membuatkan namanya semakin menjadi tumpuan untuk diawasi.

Dengan kelajuan, tenang di hadapan gawang gol dan mempunyai penyudah yang baik membuatkan penyokong Penang berpendapat bahawa penyerang muda itu akan menyumbang sesuatu dalam aksi di Stadium Ipoh pada Rabu.

2) Seo Seon-ung berwajah baharu

seo nung

Seon-ung sudah memakai topeng perlindungan muka ketika sesi latihan.

Pada perlawanan Piala Malaysia itu juga menyaksikan pemain import lawan Seo Seon-ung ditimpa kecederaan hingga mengalami kecederaan patah hidung selepas pertahanan KDA FC, Rodney Celvin secara tidak sengaja mengasarinya.

Rentetan kejadian berkenaan, kecederaan dialami Seon-ung memerlukan pemain itu berehat bagi satu tempoh yang agak panjang dan berkemungkinan Yusri terpaksa melupakan khidmat pemain tersebut.

Namun nampaknya kecederaan tersebut sudah semakin pulih apabila penyerang sayap tersebut sudah kelihatan di padang latihan dan khidmatnya mungkin akan digunakan pada aksi bertemu Harimau Kumbang.

Sekiranya perkara itu terjadi, Seon-ung mungkin akan tampil dengan wajah baharu kerana gambarnya memakai peralatan perlindungan muka yang persis seperti penyerang sayap Tottenham Hotspur, Son-Heung-min sudah tersebar di media sosial.

3) Kemeriahan penyokong Perak di laman sendiri

SUPPORTERS

Kumpulan penyokong The Supporters lebih sinonim dengan skuad TBG. Facebook/Perak FC

Beraksi di laman sendiri dengan disaksikan ribuan penyokong yang hadir di Stadium Perak di Ipoh pasti akan memberi semangat kepada barisan pemain Seladang untuk tampil lebih cemerlang menentang Penang.

Menarik musim ini, Perak tampil dengan kumpulan penyokong baharu, The Clappers yang mana ditubuhkan bertujuan untuk menghangatkan lagi suasana setiap kali skuad TBG beraksi meskipun kumpulan ultras, The Supporters lebih sinonim dengan skuad Seladang.

"TBG The Clappers hanyalah peminat yang hadir seperti biasa dan kumpul bersama, tetapi memberi tepukan kepada pasukan ketika pasukan menjaringkan gol, menangkis serangan lawan, penukaran pemain dan memberi penghormatan ketika permainan bermula dan berakhir.

"Segala tepukan akan diberi isyarat oleh kepala-kepala yang berada dihadapan memakai topi hijau, hitam atau kuning. Ini bertujuan untuk memupuk semangat sesama penyokong dan menunjukkan kita ada ketika pasukan dalam keadaan susah mahupun senang," tulis seorang peminat tegar kelab, Faidhiarif Khairul.

Walaupun ia berbeza dengan The Supporters, namun kesemua kumpulan penyokong itu masih boleh bersefahaman demi skuad Seladang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram