JIKA melihat pada statistik Liga Super, Kelantan FC mungkin bukanlah sebuah pasukan yang digeruni ketika ini kerana skuad The Red Warriors (TRW) kini berada pada kedudukan tercorot liga dengan hanya mengumpul sebanyak lima mata sepanjang 18 perlawanan.
Ada penyokong berpendapat bahawa krisis dalaman yang dihadapi pada awal musim ini merencatkan segala perancangan pasukan Pantai Timur itu untuk berada pada kelompok 10 teratas seperti diidamkan pemilik Kelantan, Norizam Tukiman.
Namun, jika dilihat dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini terutamanya sejak Angel Alfredo Vera mengambil alih TRW, corak permainan Kelantan semakin mendapat pujian daripada penyokongnya.
Walaupun masih belum meraih kemenangan namun menjelang aksi bertemu Negeri Sembilan FC (NSFC), pemain ke-12 pasukan Pantai Timur itu yakin bahawa skuad TRW berupaya memberi kejutan kepada skuad Jang.
Berdasarkan pemerhatian Majoriti, berikut tiga sebab skuad TRW akan bangkit dari badi kekalahan dan mencatat kemenangan kedua musim ini.
1. Berwajah Baru
Aliakbar Ahmadi diumumkan sebagai pemain baharu skuad TRW pada Isnin. — Facebook/TRW Kelantan FC
Skuad Kijang Merah baru-baru ini mengumumkan kehadiran empat pemain import baharu iaitu Aliakbar Ahmadi, Dennis Buschening, Alie Sesay dan Ahmed Magdy bagi membantu pasukan The Red Warriors (TRW) untuk menghadapi baki saingan musim ini.
Sehubungan itu dengan kehadiran pemain baharu itu, sudah pasti akan menukar corak permainan pasukan tersebut sekali gus mampu menguatkan lagi skuad TRW.
Malah dengan kehadiran penjaga gol import baharu mereka yang memiliki pengalaman yang agak luas di pentas bola sepak antarabangsa pastinya akan mengukuhkan lagi jentera akhir pasukan TRW.
Pemain berketinggian 1.86 meter itu sebelum ini beraksi di Iran bersama Vahdat Aghasht dan juga pernah bersama beberapa pasukan lain dan turut memiliki pengalaman beraksi di pentas antarabangsa bersama pasukan bawah 16 dan 19 tahun Iran.
2. Dapat hidu taktikal NSFC
Aksi NSFC menentang Kuala Lumpur (KL) City baru-baru ini yang mana skuad Jang yang suka menggunakan taktikal bertahan. — Facebook/ NSFC
Taktikal skuad Jang dalam dua perlawanan kebelakangan ini dilihat bermain secara bertahan pada babak awal permainan dan akhirnya anak-anak buah K. Devan akan cuba mencetak jaringan pada minit akhir perlawanan bagi meraih sekurang-kurangnya satu mata.
Seperti aksi menentang Kuala Lumpur (KL) City dan Terengganu FC (TFC), pada dua perlawanan itu NSFC menjaringkan gol pada penghujung babak kedua dan akhirnya mereka mendapat mata di kandang lawan.
Oleh itu, jika Angel Alfredo dapat menghidu taktikal tersebut, pastinya dia tidak akan membiarkan NSFC bermain dengan corak yang sama seperti aksi sebelum ini.
Alfredo perlu memastikan anak buahnya mendapat gol awal tatkala NSFC bertahan dan menggandakan kedudukan jika berpeluang.
Namun paling penting adalah tempoh 10 minit terakhir perlawanan yang mana NSFC berpotensi mengancam gawang TRW.
Bagi tempoh ini, fokus dan kekuatan mentaliti amat penting buat skuad TRW agar dapat menerap tekanan pihak lawan sekali gus mengelak pintu gol mereka dibolosi saat-saat akhir.
Pengendali baharu Kelantan itu boleh boleh menggunakan taktikal bertahan atau mengarahkan pemainnya untuk melengahkan masa supaya dapat memastikan kemenangan mutlak milik mereka. Itu pun seandainya mereka mampu mendahului perlawanan.
3. Eksploitasi benteng NSFC
Levy Madinda berhijrah ke kelab Liga 1 Indonesia, Persib Bandung selepas meninggalkan skuad Hobin Jang Hobin. — Facebook/NSFC
Umum mengetahui skuad kendalian K. Devan mengalami masalah mengukuhkan benteng pertahanan selepas mereka kehilangan pemain import Levy Madinda yang berhijrah ke kelab Liga 1 Indonesia, Persib Bandung.
Jika melihat kepada beberapa aksi perlawanan sebelum ini, jelas kelihatan skuad Hobin Jang Hobin itu perlu memperbaiki kelemahan dalam benteng pertahanan mereka sama ada menurunkan ubi muda atau K. Devan perlu 'mencipta' pemain sedia ada sebagai bek kental dalam keadaan terdesak ini.
Pada masa sama, pasukan itu dilihat terlalu mengharapkan pemain import, Herold Goulon untuk mengetuai bahagian pertahanan mereka, sekali gus meninggalkan beban yang berat buatnya selain memudahkan taktikal pihak lawan untuk menyerang dari sayap untuk mengelirukan bek kelahiran Perancis itu.
Dalam situasi ini, penyerang Kelantan seharusnya memanfaatkan setiap peluang agar diterjemahkan kepada gol.
Beban pastinya terletak kepada penyerang baharu TRW, Dennis Buschening yang diharapkan mengulangi prestasi terbaiknya sebelum ini ketika bersama UiTM FC dan Sabah FC.
Kemenangan ke atas NSFC membolehkan memintas Kuching City di tangga ke-17 dan jika skuad Jang menang, kelab itu berpeluang mendaki tangga kelapan yang kini dihuni PDRM FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram