SELANGOR FC berjaya mengekalkan takhta sebagai raja derbi Lembah Klang apabila mudah menundukkan Kuala Lumpur City (KL City) 2-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor pada Selasa.
Ia adalah kejayaan kedua Gergasi Merah ke atas KL City dalam saingan Liga Super musim ini, apabila mereka meraih kemenangan 3-1 pada aksi pertama di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, 31 Mac lalu.
Keputusan itu juga mengukuhkan kedudukan Selangor di tangga kedua dengan 43 mata, berkelebihan tiga mata berbanding Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang masih kurang satu perlawanan.
Skuad kendalian Tan Cheng Hoe berjaya menjaringkan gol menerusi Harith Haiqal Adam Afkar dan Ayron Del Valle sekali gus mengesahkan tiga mata buat tuan rumah.
Walaupun merekodkan empat kemenangan dalam lima perlawanan terakhir, itu bukanlah topik tumpuan penyokong Selangor apabila mereka lebih berminat untuk membincangkan tentang prestasi Richmond Boakye.
Ia selepas dalam lima perlawanan terakhir, Boakye hanya menjaringkan satu gol meskipun hadir dengan resume yang agak baik sebelum datang ke Selangor.
Boakye mendapat kritikan daripada penyokong Selangor kerana tidak beraksi dengan baik. — Facebook/Selangor FC
Perlawanan derbi Lembah Klang itu menghangatkan lagi hati penyokong Selangor apabila mereka mendakwa pemain berusia 30 tahun itu dikatakan 'malas' dan tidak banyak membantu dalam membina serangan Gergasi Merah.
Malah penyokong Selangor sudah mula merindui kelibat bintang import Hijau Kuning, Ifedayo Olusegun yang dilihat sedang menikmati masa terbaiknya bersama Kedah.
"Sejujurnya pendapat peribadi aku Boakye ini bukan penyerang yang berkualiti berbanding Ifedayo. Kecewa bila selangor tak sign semula Ifedayo.
"Bukan tak ada peluang nak sign cuma entahlah, enam perlawanan Boakye cuma berjaya jaringkan satu gol berbanding Ifedayo yang baru bermain empat perlawanan sudah menjaringkan lima gol," kata salah seorang penyokong.
Hyuri (kanan) pernah beraksi bersama Selangor pada musim lalu. — Facebook/Selangor FC
Penyokong turut menyamakan Boakye dengan bekas import Hyuri Henrique yang pernah mendapat kritikan kerana aksi yang tidak memberangsangkan bersama Selangor.
"Adakah Boakye ini jelmaan Hyuri 2.0?" soal penyokong lain.
"Boakye macam tak ada konfiden dalam permainan, tak boleh 'dribble', dapat bola terus 'passing', tak dapat banyak peluang untuk cuba jaring gol," kata Roma Rumi.
"Control ball tak ada, passing hancur, shooting teruk, lembik, pemalas, tahu tunggu bola. Bila dapat bola selalu jatuh, betul ke dia pernah lawan Cristiano Ronaldo?" luah Syazani Baharuddin.
Selepas ini Selangor akan menentang Negeri Sembilan di halaman lawan tanpa kehadiran dua pemain, Safuwan Baharudin dan Quentin Cheng kerana telah mengumpul lima kad kuning. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram