KUALA Lumpur (KL) City FC gagal membalas dendam kekalahan 1-3 kepada jiran mereka, Selangor FC pada April lepas apabila sekali lagi tewas 0-2 pada saingan Liga Super 2023 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya pada Selasa.
Skuad Gergasi Merah yang jelas mendominasi babak pertama membuka tirai jaringan menerusi Harith Haiqal Adam Afkar dan Mukhairi Ajmal sedikit membantu pasukan itu mengukuhkan kedudukan di tangga kedua Liga Super.
Aksi cukup bertenaga berjaya ditampilkan anak-anak buah Tan Cheng Hoe yang beraksi dengan cukup cemerlang meskipun memilih untuk merehatkan beberapa tonggak utama pasukan.
Sekitar aksi antara pemain Gergasi Merah dan KL City FC. — Facebook/MFL
Mengulas mengenai perlawanan tersebut, pengendali Gergasi Merah, Cheng Hoe berpuas hati dengan persembahan cemerlang yang ditunjukkan oleh barisan pemain Selangor itu.
"Tahniah kepada pemain kerana menunjukkan satu persembahan yang terbaik dari awal minit permainan hingga minit-minit terakhir.
"Kita begitu berdisiplin dan komited dalam perlawanan menentang KL.
"Tapi banyak lagi yang perlu diperbaiki dari segi hantaran bola dan paling penting kemenangan yang cukup istimewa untuk pasukan," katanya.
Sementara itu, Ketua Jurulatih baharu KL City FC, Nenad Bacina turut memuji persembahan yang ditampilkan oleh barisan pemain pasukan Selangor.
"Pertama sekali saya ingin mengucapkan tahniah kepada Selangor kerana meraih dua gol.
"Sudah tentu Selangor mendominasi beberapa posisi, tetapi kami juga merancang untuk membuat beberapa serangan balas tapi mereka bermain dengan sangat baik," kongsinya.
Bacina juga mendedahkan bahawa pasukan kendaliannya mempunyai banyak peluang namun gagal menyempurnakan dengan baik.
"We are not patient enough, we are rushing," kongsinya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram