'In Bacina we trust', 3 taktikal baharu perlu diawasi menjelang pertemuan 'derby' Lembah Klang


  • Podium
  • Selasa, 08 Ogos 2023

Skuad Warga Kota di bawah kendalian Nenad Bacina memiliki taktikal serta corak permainan yang lebih kemas. — Stadium Astro

PERTEMUAN Selangor FC dan KL City FC dalam saingan ke-19 Liga Super pada Selasa pastinya menjadi perlawanan tumpuan dengan kedua-dua pasukan terbabit merupakan skuad terunggul di lembah Klang.

Dilabel sebagai perlawanan 'derby' Lembah Klang, tempoh 90 minit di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bakal menjadi penentuan pasukan manakah yang layak digelar gergasi.

Dalam pada itu, kehadiran Nenad Bacina selaku ketua jurulatih baharu skuad Warga Kota mula melihatkan penambahbaikan dalam corak permainan KL City.

Selepas diumumkan sebagai pengganti Bojan Hodak, KL City telah merekodkan dua kemenangan besar iaitu 5-1 ke atas Kelantan FC di saingan Liga Super dan 4-0 ke atas Penang FC dalam kejohanan Piala Malaysia.

Meskipun atas kertas menyaksikan skuad Gergasi Merah lebih berpotensi untuk meraih kemenangan, namun perbezaan mata dan kedudukan di carta liga tidak boleh dijadikan ukuran dengan masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri ketika beraksi di atas padang.

KL City yang kini berwajah baharu, dijangka meneruskan kemenangan dalam pertemuan menentang Selangor nanti dengan anak-anak buah Tan Cheng Hoe perlu mengawasi beberapa perubahan taktikal yang akan dipersembahkan.

Berikut merupakan tiga kelainan taktikal KL City di bawah Nenad Bacina yang perlu dikaji oleh barisan kejurulatihan Gergasi Merah sekiranya enggan ditewaskan.

1. Taktikal menyerang

Pasukan KL City di bawah kendalian Nenad Bacina lebih gemar menggunakan taktikal menyerang dengan jaringan di minit awal permainan sentiasa menjadi buruan pasukan itu.

Gemar menyenaraikan penyerang import Tchetche Kipre dan Romel Morales selaku pemain di bahagian hadapan, kedua-dua pemain itu dilihat lebih kerap menerima hantaran berbanding terlibat dalam perebutan bola yang mana cara itu dikatakan lebih berkesan untuk menembusi ke jaring lawan.

KITHE

Tchetche Kipre merupakan tonggak utama di bahagian serangan pasukan KL City FC. — Facebook/KL City FC

Dua perlawanan terdahulu menyaksikan KL City lebih rancak melakukan serangan menerusi hantaran pendek serta percubaan jarak jauh yang tepat ke arah sasaran.

Gemar melakukan serangan balas dan bijak melepaskan diri daripada perangkap penjaga garisan 'offside', ia juga menjadi salah satu ancaman terbesar buat pasukan lawan khususnya di bahagian benteng pertahanan yang akan diduga dengan kelajuan kedua-dua pemain tersebut.

2. Hantaran pendek & kawalan bola kemas

Mengamalkan konsep hantaran pendek tepat ke arah rakan sepasukan, ia menjadi salah satu senjata pemusnah terbaharu dimiliki skuad kendalian Nenad Bacina.

Dalam sesebuah pasukan, corak permainan menarik akan jelas kelihatan sekiranya pemain mempamerkan hantaran laju selain penguasaan bola kemas yang mampu mengelirukan pihak lawan.

Ia dapat digambarkan dalam perlawanan KL City menentang Penang FC di saingan Liga Malaysia Khamis lalu susulan kawalan kemas yang mampu mengancam bahaya ke gawang lawan.

Berbeza dengan corak secara bertahan yang sering dipraktikkan Bojan Hodak, skuad warga kota kini menerima nafas baharu berkonsepkan permainan ala Timur Tengah yang berbeza dengan taktikal pasukan lain di Liga Malaysia (Liga M).

3. Fleksibel melakukan perubahan taktikal

Nedad Bacina memiliki keistimewaan tersendiri selepas bijak menilai keupayaan pemain-pemainnya khususnya ketika pertukaran pemain.

Skuad Warga Kota yang kini dibarisi dua pemain import di bahagian hadapan, masih mendapat kepercayaan jurulatih itu yang melihat kelibat pemain muda tempatan, Haqimi Azim sebagai watak berpotensi untuk dibawa masuk di separuh masa kedua.

kimi

Hakimi Azim antara penyerang muda berpotensi dimiliki skuad Warga Kota musim ini. — Facebook/KL City FC

Meletakkan pemain itu di posisi pemain sayap kiri ketika perlawanan menentang Kelantan FC sebelum ini, ia dilihat sebagai salah satu 'rencah' dan resipi yang mampu mengkucar-kacirkan benteng pertahanan lawan.

Haqimi yang sebelum ini lebih gemar diletakkan selaku penyerang tunggal oleh Bojan Hodak, seolah-olah memberikan bayangan baharu bahawa penyerang skuad Harimau Malaya itu juga boleh diturunkan di posisi sayap.

Ia sekali gus mengubah taktikal pasukan tersebut dengan larian pantas dimiliki pemain itu, boleh digunakan di saat-saat akhir perlawanan yang mampu menyumbang gol buat pasukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram