[VIDEO] Sengaja pertikai isu air, lempar mercun semasa ceramah politik di Bangi


  • Tular
  • Selasa, 08 Ogos 2023

Tangkap layar insiden letupan mercun berlaku ketika ceramah politik dijalankan di Bandar Baru Bangi, Selangor pada Isnin malam.

MENJELANG Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung pada 12 Ogos, setiap wakil daripada parti bertanding sedang giat menjalankan aktiviti ceramah dan perkongsian manifesto di kawasan masing-masing bagi meraih undian penduduk.

Namun, perkara itu juga dijadikan sebagai salah satu peluang oleh segelintir pihak yang sengaja melakukan provokasi terhadap parti yang kurang disenangi.

Situasi itu boleh digambarkan dalam satu kejadian yang berlaku di Seksyen 4, Bandar Baru Bangi, Selangor pada Isnin malam ketika satu ceramah Pakatan Harapan (PH) dijalankan di kawasan berkenaan.

Beberapa letupan mercun dipercayai sengaja dilempar oleh individu yang meluahkan kemarahan terhadap parti tersebut.

Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkongsi insiden itu di laman Twitter peribadinya selepas selesai menghadiri ceramah tersebut pada Isnin.

Letupan itu disyaki sengaja dilakukan sebagai salah satu bentuk provokasi terhadap parti berkenaan dengan jeritan individu lelaki turut kedengara dalam rakaman berdurasi 56 saat tersebut.

"Selangor pun tak ada air."

Demikian merupakan jeritan yang dapat didengari ketika insiden tersebut berlaku.

Syahredzan Johan yang turut berada di lokasi kejadian, tampil mempersoalkan perkara itu di laman Twitter.

"Orang tengah ceramah, ada pula sengaja main mercun. Provokasi? Nilai sendiri," ciapnya.

Untuk rekod, Selangor sebelum ini kerap mengalami gangguan air di beberapa daerah dengan terbaharu menyaksikan sebanyak 99 kawasan di wilayah Klang, Shah Alam dan Kuala Selangor terkesan dengan masalah itu pada Mei lalu.

Terkesan dengan perkara tersebut, ada pihak mula membangkitkan isu terbabit sebagai salah satu pembaharuan yang perlu dilakukan oleh kerajaan di negeri terbabit.

Namun sehingga kini, masih tiada tangkapan dibuat berhubung kejadian di Bandar Baru Bangi tersebut dengan orang ramai diminta untuk tidak membuat spekulasi berkaitan hal tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram