Berjaya bolosi gawang JDT, 3 rahsia tersembunyi Kelantan perlu dipelajari Gergasi Merah


  • Podium
  • Sabtu, 05 Ogos 2023

Skuad Selangor FC perlu merancang taktikal terbaik untuk menyaingi kekuatan JDT. — Awani

PERTEMBUNGAN Kelantan FC dan Johor Darul Takzim (JDT) pada aksi pertama pusingan 16 terakhir di Stadium Muhammad IV, Kelantan pada Jumaat berakhir dengan kemenangan memihak kepada Harimau Selatan.

Dibolosi dengan jaringan besar, keputusan 5-1 kekal hingga ke akhir perlawanan yang menyaksikan The Red Warrior (TRW) meneruskan badi kekalahan kepada pasukan elit Pantai Timur itu buat kali yang ketiga musim ini.

Gol cenderahati Kelantan hadir di penghujung separuh masa kedua menerusi pemain gantian, Khalaif Naskam yang membuat rembatan bertenaga sehingga menewaskan Syihan Hazmi.

Meskipun tewas, keupayaan Kelantan menembusi gawang JDT mencuri perhatian sebilangan penyokong yang menyifatkan ia bukan satu kebetulan ataupun nasib.

Untuk rekod, TRW merupakan satu daripada tiga kelab yang berjaya menembusi gawang skuad Harimau Selatan pada musim ini selain Terengganu FC dan KL City FC.

kello

Kelantan FC berjaya mendapatkan gol cenderahati pada pertemuan menentang JDT di Piala Malaysia pada Jumaat. — Facebook/KelantanFC

Bertitik tolak daripada itu, sebilangan peminat mula membandingkan keupayaan Kelantan berbanding pasukan Selangor FC yang berada di kedudukan kedua carta liga ketika ini.

Justeru, pemain Gergasi Merah disarankan untuk mempelajari beberapa rahsia serta taktikal diguna pakai Kelantan sekiranya ingin menewaskan penjaga gol pasukan terbabit.

1. Elak taktik parkir bas

Dalam beberapa siri perlawanan sebelum ini, skuad Selangor dikatakan terlampau kerap bermain secara bertahan dengan kawalan ketat diberikan kepada pemain-pemain JDT.

Meskipun hadir menerusi corak menyerang secara 'counter attack', namun situasi itu gagal membuahkan hasil yang melihatkan anak-anak buah Estaban Solari bijak menghidu corak permainan tersebut sekali gus mudah mematahkan serangan dilancarkan.

Selangor disarankan untuk mengambil langkah berani mempertaruhkan taktikal menyerang di samping larian deras dari sayap kiri dan kanan pasukan untuk menembusi ke benteng pertahanan lawan.

Tidak dinafikan, JDT sememangnya pakar dalam hantaran pendek yang mampu menghadirkan peluang untuk mencipta gol, namun Selangor perlu sentiasa peka dengan peluang terhidang dan segera melakukan serangan balas tanpa melengahkan masa.

Kerap membuat hantaran ke belakang dan bermain di kawasan sendiri, perkara itu perlu diubah segera dengan taktikal menyerang yang lebih laju ataupun percubaan jarak jauh yang mampu menghasilkan gol.

2. Cuba gandingan trio import

Formasi 4-3-3 perlu dicuba pakai oleh Tan Cheng Hoe dengan trio import berpotensi wajar diletakkan di barisan serangan hadapan pasukan ketika menentang JDT.

Kelantan yang menggunakan taktikal tersebut pada Jumaat, menyaksikan pasukan itu memiliki lebih ramai pilihan pemain untuk menerima hantaran khususnya di bahagian serangan.

mcv

Selangor perlu menurunkan tiga penyerang import di bahagian hadapan pasukan.

Tiga pemain diyakini mampu mengisi posisi trio tersebut iaitu Ayron Del Valle, Richmond Boakye dan Rauf Salifu.

Memiliki larian pantas selain kawalan kemas, ketiga-tiga mereka juga mampu menjaringkan gol dari jarak jauh sekiranya sukar untuk menembusi benteng pertahanan JDT.

Dengan ketiadaan Faisal Halim yang menjalani hukuman penggantungan selama empat bulan perlu dipraktikkan sebaiknya dengan percubaan gandingan baharu di barisan serangan hadapan.

3. Gunakan peluang terhidang

Selangor sebelum ini dikatakan kerap mengsia-siakan peluang terhidang ketika bertemu JDT yang sekali gus menyaksikan kekalahan demi kekalahan dialami juara 33 kali Piala Malaysia itu.

Meskipun kerap memecah masuk ke kawasan berbahaya Harimau Selatan menerusi pemain sayap licik Faisal Halim dan Mukhairi Ajmal, namun percubaan dilakukan sentiasa menuju tepat ke dakapan penjaga gol Syihan Hazmi.

Ia menunjukkan betapa kekuatan sepakan serta peluang yang terhidang gagal diterjemahkan ke dalam bentuk jaringan yang sekali gus merugikan keseluruhan pasukan tersebut.

jdu

Mukhairi Ajmal kerap mempamerkan aksi lincah namun gagal menerjah ke gawang lawan.

Gergasi Merah yang dibarisi ramai peledak import, perlu segera memperbaiki ketajaman di hadapan pintu gol atau bakal berterusan tewas kepada pasukan Harimau Sekatan dalam pertemuan berikutnya nanti.

Terdahulu, aksi pembukaan Piala Malaysia pada Jumaat menyaksikan Gergasi Merah bermula langkah kanan apabila berjaya menumbangkan PDRM FC dengan keputusan 4-1 menerusi ledakan Ayron del Valle, Harith Haiqal dan Yohandry Orozco.

Di saingan Liga Super, Selangor meneruskan misi pemburuan tiga mata penting apabila bakal bertemu KL City FC pada 8 Ogos depan sebelum bertemu PDRM pada aksi timbal balik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram