[VIDEO] 'Budak campak barang dalam mangkuk tandas', guru tadika dedah bahaya kartun 'Skibidi Toilet'


  • Tular
  • Rabu, 02 Ogos 2023

Animasi 'Skibidi Toilet' di You Tube dikatakan memberi pengaruh buruk kepada golongan kanak-kanak.

GOLONGAN kanak-kanak masa kini kian taksub dengan alat peranti teknologi dan animasi di televisyen yang seolah-olah sudah menjadi satu keperluan buat mereka meskipun di usia kecil.

Tidak dinafikan bahawa kartun animasi seperti itu sememangnya menjadi kelaziman buat mereka dengan ia juga menjadi salah satu tarikan di zaman kanak-kanak.

Namun, kecuaian segelintir ibu bapa yang tidak memantau bahan tontonan di laman digital masa kini dilihat boleh membahayakan anak-anak di bawah usia tujuh tahun yang 'ketagih' dengan video kartun.

Terbaharu, tular satu animasi di You Tube bertajuk 'Skibidi Toilet' yang dikatakan telah memberikan kesan negatif kepada golongan kanak-kanak dan beberapa video di TikTok turut memaparkan perbuatan pelik golongan berkenaan selepas menonton rancangan tersebut.

Perkara itu dijelaskan oleh seorang guru tadika dikenali sebagai Najwa Ayub di laman Facebook peribadinya yang memohon penjaga di luar sana agar melarang anak-anak mereka menonton rancangan animasi tersebut.

Menurutnya, kartun itu pada mulanya hanya memaparkan watak lelaki yang keluar daripada mangkuk tandas sambil menyanyi, namun beberapa episod kebelakangan ini ia mula memaparkan adegan ganas dan tembak menembak yang boleh mempengaruhi minda budak kecil.

"Semuanya tanpa jalan cerita yang baik, lagu latar belakang juga sengaja diubah suai untuk meransang fikiran kanak-kanak untuk berpelakuan ganas.

"Sebab apa, kanak-kanak di bawah usia tujuh tahun pemikiran dia baru nak berkembang jadi golongan seperti mereka memang dijadikan sasaran utama untuk kaut keuntungan.

"Otak mereka sedang berkembang pesat, anak-anak tengah membina fahaman mengenai dunia sekeliling mereka.

"Jika dunia mereka hanyalah dengan menonton video pendek YouTube atau TikTok yang tidak memberi apa-apa makna yang hanya menunjukkan keganasan semata, apa fahaman yang mereka bina mengenai dunia sekeliling mereka," ujarnya.

tanaad

Antara klip yang disiarkan dalam rancangan kartun 'Skibidi Toilet'.

Merupakan seorang guru tadika yang bertugas di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Najwa Ayub turut berkongsi pengalaman apabila pelajarnya turut melakukan aksi aneh selepas menonton kartun tersebut.

"Saya ada jugak la nampak di tadika, beberapa pelajar yang mula buang barang dalam mangkuk tandas, dia nampak macam tertanya-tanya apa ada dalam itu.

"Kenapa mangkuk tandas, kenapa bukan tempat lain, memang tertanya-tanya lah kita.

"Sampai sekarang, baru terungkap semua misteri sebab 'Skibidi Toilet' punya pasal," jelasnya.

Turut menerima sokongan di ruangan komen, rata-rata warganet meluahkan reaksi sama dengan meminta agar rancangan itu dihentikan tayangannya di Malaysia.

Namun, sehingga kini masih belum ada sebarang kenyataan daripada pihak Kementerian Komunikasi dan Digital berhubung perkara tersebut dengan orang ramai dinasihatkan sentiasa memantau bahan tontonan anak masing-masing. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram