[VIDEO] Empat rentung nahas Manjung: Polis percaya terbabas sendiri


  • 112
  • Selasa, 08 Ogos 2023

Empat individu dilaporkan maut dalam insiden kemalangan di Kilometer 220 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) pada Isnin. — Ihsan bomba

POLIS percaya bahawa insiden kemalangan yang mengorbankan lelaki hingga rentung di Kilometer 220 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) arah utara pada Isnin berlaku akibat terbabas sendiri.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, siasatan awal mendapati, kenderaan jenis Proton Iswara itu hilang kawalan sebelum melanggar besi penghadang jalan.

Menurutnya, keadaan itu mengakibatkan kereta dinaiki lima pekerja kontrak terbabit masuk ke dalam longkang hingga menyebabkan terbakar.

"Akibat kejadian tersebut, pemandu berusia 56 tahun bersama penumpang hadapan 50 tahun, rentung dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Kejadian turut mengakibatkan dua penumpang belakang masing-masing berusia 45 dan 53 tahun maut di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Sementara itu, beliau turut berkata, seorang lagi penumpang belakang berusia 54 tahun terselamat, namun cedera parah.

Katanya, ketika kejadian, kesemua mangsa yang merupakan rakan sekerja dalam perjalanan ke Ipoh selepas selesai kerja di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak.

"Bedah siasat akan dijalankan di Hospital Seri Manjung, Perak pada pukul 10 pagi Selasa.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam kejadian dilaporkan berlaku pukul 5.11 petang itu, empat lelaki rentung, sementara seorang terselamat selepas kereta dinaiki terbakar berhampiran susur keluar Changkat Cermin, Manjung.

Operasi mengeluarkan mangsa yang dijalankan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan dibantu Balai Ayer Tawar tamat pada pukul 7.20 malam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram