PERBUATAN seorang pemandu di Taman Segar, Cheras, Kuala Lumpur mengundang kemarahan warganet susulan lagak samseng yang dipamerkan ketika memandu di sebuah jalan di kawasan tersebut pada Khamis.
Memandu melawan arus dari arah bertentangan, individu terbabit enggan berundur dan mengalah sebaik didatangi kenderaan yang berada di laluan yang betul.
Pertembungan itu menyaksikan pemuda berbaju berwarna coklat dan berseluar pendek terbabit melakukan provokasi terhadap pemandu berkenaan.
Enggan mengaku salah, individu terbabit dipercayai mengeluarkan kata-kata kesat selain turut menunjukkan isyarat jari tengah ketika kejadian.
Aksi biadab itu berterusan apabila si pelaku kemudiannya mengekori kenderaan terbabit dari arah belakang dan menahannya di sebuah kawasan berhampiran.
Jeritan serta kemarahan individu berkenaan dapat didengari di akhir rakaman tersebut namun ia tidak dirakamkan menerusi kamera dashcam tersebut.
Di ruangan komen Twitter, rata-rata warganet menggesa agar pihak polis segera menahan pemuda biadab tersebut.
"Video dah ada sebagai bukti, memang jelas dia bersalah jadi polis tolong jalankan tugas," kata YasmeenNazir.
"Kalau tak tangkap mesti satu hari nanti ada yang kena pukul atau toreh dengan lelaki berperangai samseng macam ini, orang biasa yang ikut undang-undang takkan nak jadi mangsa orang macam ini," ujar ElCapitanol126.
"Tak malu ke orang macam ini, kau dah melawan arus tunjuk samseng pula, banyak makan bahan terlarang ke apa ini," jelas Hannah.
"Dia nak marah sebab apa, tunjuk samseng tak bertempat, dah salah lepas itu nak mengamuk tak tentu pasal, esok lusa polis bagi salam depan rumah jangan tak jawab pula," tambah AmanJass.
Namun, masih belum ada sebarang kenyataan polis berhubung insiden terbabit dengan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil ke balai berhampiran untuk membuat laporan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram