BERHIJAB, cuaca sejuk dan perlu bersaing dengan pemain yang fizikalnya lebih besar dan tinggi.
Tiga perkara ini bukan mudah bagi Nur Husnina Syahirah Mohd Rizam atau lebih mesra dipanggil Syahirah untuk beraksi sebagai salah seorang pemain bola sepak wanita liga amatur di Australia.
Namun kerana jiwanya yang cintakan sukan termasuk bola sepak, menidakkan semula halangan itu, sekali gus membuktikan kemampuan dirinya untuk mencipta nama di tanah yang cukup sinonim dengan kanggaro itu.
Baru berusia 17 tahun, Syahirah sudah mengecapi pelbagai kejayaan bersama kelab kerdil Australia, Albury United yang juga merupakan sebuah akademi tempatan di Albury-Wodonga, New South Wales.
Albury United bernaung di bawah Persatuan Bola Sepak Albury Wodonga (AWFA) yang menganjurkan pertandingan bola sepak pelbagai peringkat umur termasuk di bawah usia 13 tahun.
Kelab itu sendiri mempunyai sejarah yang panjang sejak mula ditubuhkan pada 1967 dengan berpaksikan semangat kekeluargaan dan bergerak sebagai sebuah akademi bola sepak yang melahirkan banyak bakat-bakat tempatan.
Skuad wanita Albury United ketika menyertai salah satu kejohanan tempatan. — Facebook Albury United
Pilihan hati
Enam tahun menceburkan diri dalam dunia bola sepak disifatkan sebagai antara pengalaman paling manis buat diri Syahirah yang memiliki darah Malaysia walaupun lahir dan dibesarkan di negara kepulauan itu.
Ayahnya, Mohd Rizam Mustapa berasal dari Sungai Petani, Kedah manakala ibunya, Hafiza Abd Razak kelahiran Jawi, Pulau Pinang sudah menetap puluhan tahun di Australia kerana bekerja di sana.
Sebagai anak kelahiran Australia berdarah Malaysia, Syahirah berasa teruja menceritakan semula penglibatannya ke kancah bola sepak pada usia seawal 11 tahun walaupun dia mempunyai pilihan untuk terlibat dalam sukan lain yang lebih mesra wanita.
Walaupun pernah mencuba menilai bakat dalam bola jaring dan bola keranjang, niatnya untuk berjinak-jinak dengan bola sepak ternyata membuahkan hasil.
Syahirah berasa selesa dengan Albury United yang mendahulukan sifat kekeluargaan. — Facebook Albury United
"Di sekolah, saya melihat risalah tentang akademi bola sepak Albury United dan mengambil keputusan untuk menyertai mereka.
"Selepas beberapa tahun, saya akhirnya terpikat dengan bola sepak dan terus bermain untuk kelab itu.
"Kini sudah enam tahun saya bermain bersama mereka dan tidak sangka kelab yang saya sertai ini antara yang tertinggi dalam peringkat wanita," katanya kepada Majoriti.
Walaupun sekadar kelab amatur, anak sulung dari lima beradik ini berkata, kelab itu tetap menyediakan peluang untuk mengembangkan karier sebagai pemain profesional dengan menyertai pasukan kebangsaan.
"Di sini, kita boleh mencuba nasib dengan menyertai sesi percubaan jika serius mahu mewakili skuad kebangsaan Australia," kata pelajar Murray High School itu yang bermain beberapa posisi termasuk sayap kanan, pemain tengah dan penyerang.
Syahirah ketika memenangi salah satu piala bersama Albury United. — Facebook Albury United
Hijab bukan isu
Sebagai satu-satunya pemain berhijab yang beraksi dalam tiga liga berbeza, Syahirah akui wujudnya cabaran untuk mencipta nama terutamanya dalam soal persaingan dan latihan.
"Saya menyertai tiga kejohanan liga bola sepak wanita iaitu Bawah 17 tahun, Divisyen 1 dan Divisyen 2.
"Saingan Divisyen 1 lebih serius kerana corak permainannya lebih agresif, lebih keras dan kami bermain untuk wang kemenangan.
"Walapun intensitinya lebih tinggi dan lebih fizikal, kami tetap bermain dengan semangat kesukanan. Apatah lagi dunia bola sepak di sini mengalu-alukan semua peringkat umur, jantina dan kerakyatan," katanya.
Tentang imej berhijab, baginya ia bukan satu isu kerana rakan-rakannya mahupun pihak lawan tidak pernah membangkitkan soal tersebut.
"Semua orang kenal saya kerana imej ini. Bukan satu isu sebab kami semua sangat rapat walaupun daripada kelab berbeza," katanya.
Syahirah tidak berdepan masalah untuk bersaing dengan pemain yang berfizikal lebih besar dan tinggi. — BorderMail
Dengan menyertai tiga liga berbeza, Syahirah juga dituntut menabur komitmen untuk menjalani latihan sebanyak tiga kali seminggu dengan tahap latihan yang berbeza.
"Untuk latihan Bawah 17, tahapnya tidak terlalu berat sebanyak kebanyakan pelatih masih berusia muda dan ada yang masih baharu.
"Divisyen 2 menerapkan latihan yang lebih berat tetapi Divisyen 1 lebih tinggi tahap intensitinya.
"Kami perlu berlatih lebih serius dan banyak menggunakan otak, bukan sekadar soal kecergasan sahaja.
"Paling penting, kami perlu memahami taktikal yang diterapkan untuk terpilih bermain dalam Divisyen 1.
"Jurulatih kami sangat membantu dalam meningkatkan tahap kelajuan, kemahiran dan kecergasan untuk menjadikan kami pemain yang bagus," ujarnya.
Syahirah pernah menghiasi ruangan portal dan akhbar tempatan Australia.
Best moment
Mengulas tentang kejayaan paling diingati, Syahirah berkata, dia baru menyertai Divisyen 1 dan sudah mengumpul beberapa trofi termasuk gelaran juara Grand Final Piala AWFA 2022.
Lebih manis lagi katanya, mereka berjaya menewaskan seteru utama, Albury Hotspurs yang sentiasa bersaing rapat dalam saingan liga dan perebutan piala.
"Pasukan mereka agak agresif dan ada kalanya lebih baik daripada kami.
"Tapi kami berjaya mencipta kemenangan dan saya berharap lebih banyak kejayaan diperoleh bersama kelab ini," katanya.
Berdasarkan rekod, Syahirah sudah bermain dalam 100 perlawanan bersama kelab itu dan menjaringkan 16 gol sejak terlibat secara kompetitif pada 2020.
Musim ini, dia terlibat dalam 25 perlawanan dan menyumbang lima gol dalam empat kejohanan iaitu Bawah 17, Divisyen 2, Divisyen 1 dan Piala FA.
Rekod pencapaian Albury United.
Inspirasi
Satu lagi kenangan yang sukar dilupakan adalah apabila dia diberi peluang diwawancara tentang imej berhijabnya ketika beraksi di padang.
"Saya pernah diwawancara bersama akhbar tempatan tahun lepas tentang hijab dan bola sepak, dan mungkin itu antara sebabnya saya sukakan bola sepak sebab tak ramai orang macam saya yang bermain,
"Saya suka sukan sejak kecil, tapi semuanya bergantung kepada kelab yang saya sertai, saya selesa bersama mereka," tambahnya.
Dalam wawancara bersama akhbar tempatan BorderMail itu, Syahira diangkat sebagai lambang inspirasi kepada golongan Islam di Australia untuk bergiat dalam sukan.
Syahirah turut menjadi 'poster girl' untuk promosi perlawanan Albury United. — Facebook Albury United
Malah jurulatihnya, Tony Cigana tidak teragak-agak menghamburkan pujian terhadap gadis tersebut untuk menjadi role model sehingga mendapat penghormatan daripada setiap orang di Albury United.
"Sukar untuk bermain bola di peringkat senior pada usia yang masih muda. Ia permintaan yang besar tetapi saya tidak akan letak mereka di kelompok itu melainkan saya benar-benar tahu kemampuan mereka.
"Saya amat bangga dengannya dan dengan apa yang telah dilakukannya. Dia mengagumkan saya dan semua orang di sini.
"Dia adalah inspirasi sebenar," kata Cigana dalam wawancara yang diadakan pada November 2021, beberapa bulan selepas Syahirah diserapkan ke skuad Divisyen 1 yang menyaksikan barisan pemain yang lebih berusia dan berpengalaman.
Aksi Syahirah ketika menentang pemain yang lebih senior dan berpengalaman. — Facebook Albury United.
Syahirah juga tidak menolak kemungkinan untuk beraksi di Malaysia walaupun kurang mengetahui perkembangan sukan nombor satu di negara ini.
"Saya tahu bola sepak Malaysia sedang mengalami perubahan terutamanya untuk bola sepak lelaki sebab ayah saya penyokong tegar Kedah dan kadang-kala saya juga menonton perlawanan pasukan itu.
"Tapi saya tak pernah terfikir untuk bermain untuk Malaysia, kerana saya juga ada perjalanan karier yang lain.
"Jadi saya tak pasti, mungkin bergantung kepada perkembangan bola sepak di Malaysia," katanya yang juga merupakan penyokong Real Madrid. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram