'Duduk bench sumpah macam dalam peti ais', Intan Sarah kongsi debut bersama kelab AS


  • Podium
  • Jumaat, 16 Jun 2023

Intan Sarah memakai jersi nombor 10 dimasukkan sebagai pemain gantian pada babak kedua dan sempat beraksi selama 10 minit. — Instagram/IntanSerah

PEMAIN sensasi bola sepak wanita negara, Intan Sarah Anisah Zulgafli membuktikan kemahirannya selama 10 minit dalam aksi debutnya bersama kelab bola sepak yang berpangkalan di New York, Amerika Syarikat (AS) iaitu New York Dutch Lions FC (NYDLFC).

Sebelum ini, Majoriti melaporkan bahawa pasukan NYDLFC menandatangani tonggak kebangsaan yang popular dengan panggilan Intan Serah itu bagi saingan Liga Premier Bola Sepak Wanita (WPSL).

Debut bersejarah penyerang berusia 24 tahun itu dapat dilihat ketika aksi pasukannya menentang SUSA FC yang berakhir dengan keputusan seri 1-1 di Kompleks Sukan SUSA, Long Island di New York pada Khamis.

Berkongsi pengalamannya di Instagram, Intan Sarah yang diberi peluang menyarung jersi bernombor 10 sedang menyesuaikan diri dengan cuaca sejuk di kota New York.

“Penampilan pertama saya bersama NYDLFC dan 10 minit pertama saya dengan jersi nombor 10. Perlawanan yang baik rakan sepasukan. Satu mata dan lebih banyak mata lagi selepas ini.

“Cuaca di sini sangat sejuk. Saya duduk di bangku simpanan macam duduk dalam peti ais, jari semua beku. Haha. Rasa tidak boleh pemanasan badan macam biasa, kena masuk microwave sahaja kalau nak panaskan badan hahaha. (Tengok gambar terakhir, selimut pakai bip. Tapi mereka (rakan sepasukan) macam tenang sahaja kan,” kongsinya.

WhatsApp Image 2023-06-16 at 12.46.19

Intan Sarah bersama rakan sepasukan NYDLFC. — Instagram/IntanSerah

Bukan hanya dugaan cuaca, Intan Sarah juga berdepan dugaan sebaik sahaja tiba di Amerika Syarikat apabila telefon pintarnya didapati hilang ketika dalam perjalanan.

Menerusi perkongsian di Insta Story miliknya, telefom pintar jenis Samsung Note 20 Ultra itu hilang di lapangan terbang dan ia cukup penting kerana digunakan untuk urusan universiti dan kerjanya.

Intan Sarah sebelum ini dikenali sebagai pemain futsal dan mula menjadi perhatian menyerlah ketika membantu pasukan futsal wanita negara meraih pingat gangsa dalam kejohanan Sukan SEA 2021.

Bagaimanapun, dia membuat keputusan untuk memberikan tumpuan terhadap bola sepak padang pada tahun ini dengan mewakili kelab Kelana United FC.

Intan juga merupakan antara tonggak utama skuad bola sepak wanita negara pada kejohanan Sukan SEA 2023 di Kemboja pada bulan lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram