POPULARITI penyerang muda pasukan Johor Darul Takzim (JDT), Arif Aiman hanafi sememangnya tidak dapat dinafikan.
Namanya semakin meningkat naik selepas berjaya dinobatkan sekali lagi sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) pada majlis Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2022 (ABK22).
Selain itu, pemain berasal dari Pahang itu turut mengalahkan tonggak pasukan kebangsaan, Faisal Halim untuk memenangi kategori Anugerah Penyerang Terbaik.
Tidak padan dengan usianya, pemain berumur 20 tahun itu boleh dikatakan penyumbang utama kepada kejayaan luar biasa JDT yang melakar sejarah meraih ‘quadruple’ dengan menyapu bersih semua kejuaraan musim lalu iaitu Liga Super, TM Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Sultan Haji Ahmad Shah.
Bebas daripada kontrovesi dan sentiasa berpenampilan sopan, Arif Aiman juga sentiasa diundang menjadi tetamu program-program khas di sekolah.
Terbaharu, Arif Aiman diundang ke sebuah program di Sekolah Kebangsaan (SK) Cenderawasih di Kuantan, Pahang baru-baru ini.
Apa yang menarik dalam jemputan tersebut adalah gelagat Arif Aiman lawan menimbang bola dengan seorang murid perempuan di sekolah berkenaan.
Dalam video yang dimuat naik guru sekolah terbabit @ruqaiyah_rahman di akaun TikTok memaparkan pelajar bernama Puteri Mia itu berpeluang untuk menunjukkan bakatnya sebagai freestyler di depan Arif Aiman.
Kehebatan yang ditunjukkan oleh Puteri Mia itu bukan sahaja membuatkan murid-murid sekolah dan tenaga pengajar yang lain kagum, malah Arif Aiman turut memberikan tepukan kepadanya.
Menurut cikgu sekolah tersebut, Puteri Mia merupakan seorang yang berbakat dan pernah menjadi juara dalam beberapa pertandingan dan kejohanan sukan peringkat sekolah.
"Memang adik Mia pandai timbang bola, dia johan dalam ikon sukan kebangsaan kalau tak silap saya. Dia boleh timbang lama gila bola dalam video itu," katanya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya turut memuji bakat kanak-kanak perempuan tersebut.
Pemain futsal wanita negara, Intan Serah turut memuji kehebatan Puteri Mia.
"Terbaik," katanya.
Seorang lagi pengguna TikTok, Natrah berasakan, pelajar sekolah rendah tersebut mempunyai masa depan yang cerah sekiranya diasah bakat dari muda sama seperti Arif Aiman.
"Dia akan jadi macam Arif Aiman suatu hari nanti kalau mempunyai didikan yang betul. Zaman sekarang perempuan pun boleh jadi pemain bola sepak yang berjaya," tulisnya.
Sementara itu, Tarmizi turut bersetuju dengan pendapat Natrah.
"Ini macam Arif Aiman versi perempuan. Tapi nampak Arif Aiman terpegun, mesti dia sangka budak itu main-main sahaja. Terbaik anak Pahang," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram