[VIDEO] Intan Sarah dapat 'hadiah', kongsi cerita tak nampak tiang gol di sebalik jaringan debut di New York


  • Podium
  • Ahad, 18 Jun 2023

Intan Sarah memakai jersi nombor 10 untuk kelab NYDLFC. — Instagram/IntanSerah

TIDAK perlu mengambil masa terlalu lama untuk menyesuaikan diri bersama suasana baharu, penyerang kebangsaan bola sepak negara, Intan Sarah Anisah Zulgafli membuktikan terus melakar sejarah tersendiri dengan menjaringkan gol pertamanya di bumi Amerika Syarikat.

Pemain sensasi yang popular dengan panggilan Intan Serah itu membuka akaun gol pertamanya ketika perlawanan keduanya bersama kelab bola sepak yang berpangkalan di New York, iaitu New York Dutch Lions FC (NYDLFC).

Tonggak Kelana United itu menjaring gol debut pada minit ke-84 perlawanan dan menjadi penjaring tunggal NYDLFC ketika aksi yang menyaksikan pasukannya tumpas 3-1 di tangan NY Athletic pada Ahad.

Dalam video yang dikongsikan oleh pemain berusia 24 tahun tersebut, Intan Sarah memanfaatkan peluang sehabis baik walaupun cuba disekat oleh beberapa beberapa barisan pemain pelawat.

Walaupun ia hanya gol sagu hati buat pasukannya namun rakan sepasukan termasuk jurulatih NYDFLC, Rogier Schul tetap berbangga dan memberi pujian kepada jaringan gol pertama Intan Sarah buat pasukan tersebut.

Your first score in America huh?, good job! (Jaringan gol pertama awak di Amerika kan? Usaha yang baik!),” pujian pengendali pasukan itu yang dikongsi Intan Sarah di laman Instagram miliknya.

Di sebalik detik bersejarah bekas pemain futsal kebangsaan itu, Intan Sarah turut berkongsi bahawa mengalami kecederaan di bahagian matanya yang mana berpunca daripada hentakan daripada pemain pasukan pelawat.

"Kejadian di sebalik gol ini. Kalau tengok slow motion sebelum saya dapat bola, tangan dia (pemain NY Athletic) hentak muka saya which directly dekat mata (sakit sangat).

"Jadi selepas itu, saya memang tak nampak di mana tiang gol. Hanya fokus nak kejar bola, sambil mata tertutup samar-samar nampak sahaja. Then dalam hati dah reda dan tawakal saja sepak mana-mana. Dengan harapan masuklah," kongsinya.

WhatsApp Image 2023-06-18 at 13.15.59

Tangkap layar Insta Story Intan Sarah.

Sebelum ini, Intan Sarah membuat debutnya ketika aksi pasukannya menentang SUSA FC yang berakhir dengan keputusan seri 1-1 di Kompleks Sukan SUSA, Long Island di New York pada Khamis.

Intan Sarah dimasukkan sebagai pemain gantian pada babak kedua dan diberi peluang menunjukkan kemahirannya selama 10 minit bagi kemunculan pertamanya untuk pasukan NYDLFC.

Ketika perlawanan pertamanya itu, Intan Sarah yang diberi peluang menyarung jersi bernombor 10 itu sempat berkongsi pengalamannya beraksi dengan cuaca sejuk di kota New York.

Pemain yang mewakili Malaysia pada kejohanan Sukan SEA 2023 di Kemboja itu mengibaratkan cuaca sejuk di New York seperti berada dalam peti ais sehingga Intan Sarah tidak boleh melakukan pemanasan badan seperti biasa.

Diharapkan pencapaian Intan Sarah dan pengalaman sepanjang bersama kelab NYDLFC itu boleh menjadi ikutan pemain wanita lain dan seterusnya memberi impak positif buat skuad kebangsaan negara, Malayan Tigress. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram