NAMA 'ubi muda', Arif Aiman Mohd Hanapi semakin meningkat naik ekoran prestasi cemerlang yang dipamerkannya sepanjang bergelar pemain profesional.
Dengan hanya berketinggian 1.7 meter (m), anak kelahiran Pahang ini membuktikan mampu memberikan aksi mengancam apabila berjaya menjaringkan lima gol dan sembilan assist sepanjang 14 penampilannya dalam Liga Super 2023.
Tidak cukup dengan itu, penerima anugerah Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2021 dan 2022 itu juga mengumpul keseluruhan 14 gol musim ini dalam Piala FA dan lima gol bersama bersama skuad Harimau Malaya.
Dengan kelincahannya di atas padang, ramai berpendapat dia sesuai berkelana ke negara seperti Jepun atau Korea Selatan yang boleh menjanjikan masa depan lebih cerah dalam kariernya.
Arif Aiman bagaimanapun mengakui bahawa dirinya ketika ini masih belum cukup hebat untuk beraksi di negara-negara berkenaan.
Pemain berusia 21 tahun itu berhasrat untuk terus kekal fokus memperbaiki dan mempertingkatkan prestasinya bersama pasukan Harimau Selatan dan skuad Kebangsaan terlebih dahulu.
Berikut Majoriti senaraikan empat tip sekiranya pemain sensasi JDT itu berpeluang melebarkan sayap ke Jepun atau Korea Selatan pada masa akan datang.
1. Sediakan sistem sokongan yang baik
Arif Aiman Hanapi kini prospek muda termahal Liga M. — Facebook/JohorSouthernTigers
Berpindah ke tempat baharu dan menyesuaikan diri dengan budaya baharu bukanlah satu proses yang mudah.
Itu antara cabaran yang bakal dihadapi anak buah Esteban Solari itu jika dia mengambil keputusan untuk berhijrah ke dua negara tersebut.
Justeru itu, untuk mengelakkan rasa janggal ketika berkelana di negara orang bagi tempoh waktu yang lama, Arif Aiman boleh mempertimbangkan untuk menyertai program keluarga angkat.
Dengan kewujudan keluarga angkat yang dapat menjaga keperluannya semasa berada jauh dari keluarga sedikit sebanyak dapat memudahkannya untuk mengadaptasi dengan suasana di tempat baharu.
Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga disaran mewujudkan program 'anak angkat' dengan negara-negara maju dalam bola sepak bagi merealisasikan misi 'mengeksport' pemain muda ke luar negara benar-benar berjaya.
2. Kursus bahasa jangka pendek
Arif Aiman menjadi watak penting kepada kejayaan luar biasa JDT yang melakar sejarah meraih ‘quadruple’ pada tahun lalu. — Facebook/JohorSouthernTiger
Komunikasi yang tidak mencukupi dalam satu pasukan boleh membawa kepada pelbagai masalah di atas padang.
Apatah lagi, penduduk di Jepun dan Korea Selatan dikenali sebagai negara yang penduduknya lebih gemar berkomunikasi dalam bahasa ibunda berbanding bahasa asing.
Sehubungan itu, Arif Aiman digalakkan untuk menyertai kursus bahasa sekurang-kurangnya dalam masa tiga bulan bagi membolehkannya 'blend in' dengan pasukan baharunya, termasuk masyarakat setempat.
Pihak pengurusan juga boleh mengupah jurubahasa dalam kalangan pelajar Malaysia di dua-dua negara itu.
Dengan interaksi yang baik, sekurang-kurangnya, pemain itu tidak menghadapi kesukaran untuk mempamerkan aksi terbaiknya bersama rakan sepasukan.
3. Contohi semangat Intan Serah
Intan Serah melebarkan sayap ke AS dengan mewakili kelab New York Dutch Lions FC (NYDLFC).
Walaupun JDT dilihat tempat yang sesuai untuk Arif Aiman mengembangkan karier sebagai pemain bola sepak, namun atas faktornya yang masih muda itu, dia perlu memberanikan diri cuba untuk berkelana di luar negara seperti rakan sepasukan, Safawi Rasid yang pernah berkelana ke Portugal untuk bersama Portimonense SC.
Selain itu, Arif Aiman boleh mencontohi semangat penyerang bola sepak kebangsaan, Intan Sarah Anisah Zulgafli yang melebarkan sayap ke Amerika Syarikat (AS) dengan mewakili kelab New York Dutch Lions FC (NYDLFC).
Dari sudut berbeza, Intan Sarah yang dikenali dengan nama Intan Serah menunjukkan keberanian untuk berkelana ke negara asing yang terletak lebih 15,000 kilometer jaraknya dari Malaysia untuk mengejar cita-cita selain memperkukuh resumenya sebagai antara pemain bola sepak wanita berjaya.
Perkara itu perlu dilihat dari sisi positif untuk pemain yang secemerlang Arif Aiman mengambil contoh supaya dia dapat mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal apabila tiba masanya dia berhijrah ke kelab luar negara.
Justeru itu, Arif Aiman perlu mencontohi semangat juang yang ditunjukkan oleh Intan Serah untuk keluar menimba pengalaman yang baharu sebelum menjadikan peluang tersebut sebagai ‘batu loncatan’ bagi meningkatkan kualiti permainan yang dimilikinya.
4. Cuba nasib di Liga Asia Tenggara
Arif Aiman mempunyai pilihan untuk berkelana ke Liga Asia Tenggara. — Facebook/JohorSouthernTiger
Namun begitu, Arif Aiman mempunyai pilihan lain sekiranya dia memilih untuk berkelana ke luar negara satu hari nanti, seperti di Liga Asia Tenggara.
Dua negara yang dilihat sesuai untuk Arif Aiman mencuba nasib ialah Thailand dan Indonesia yang menjanjikan masa depan lebih baik.
Hal ini kerana, sekiranya Arif terus ke liga yang lebih kompetitif seperti di Jepun dan Korea, mungkin cabaran berbeza dan peluang pemain berusia 21 tahun itu untuk mendapatkan lebih minit permainan lebih cerah sekiranya bermain di Liga Asia Tenggara.
Pada masa sama, Arif dapat menimba pengalaman bersama kelab-kelab besar di negara jiran, contohnya seperti dilakukan Safee Sali suatu ketika dahulu.
Untuk rekod, Safee telah disunting oleh pasukan Pelita Jaya yang bermain Liga Indonesia dan impak yang diberikan Safee pada ketika itu tidak boleh disangkal apabila dia dilantik menjadi ketua pasukan walaupun masih ramai lagi pemain lebih senior dalam pasukan Pelita Jaya ketika itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram