Kelab New York pinang Intan Serah


  • Podium
  • Isnin, 12 Jun 2023

Poster dimuat naik NYDLFC di hantaran Facebooknya mengenai penyertaan Intan bersama pasukannya. — Facebook/NewYorkDutchLions FC

PEMAIN sensasi bola sepak wanita negara, Intan Sarah Anisah Zulgafli dilamar untuk beraksi bersama kelab bola sepak yang berpangkalan di New York, Amerika Syarikat (AS) iaitu New York Dutch Lions FC (NYDLFC).

Perkara itu diumumkan sendiri kelab tersebut dalam satu hantaran di Facebooknya pada Isnin yang memaklumkan kelab itu sudah menandatangani Intan yang juga popular dikenali sebagai Intan Serah untuk menyertai pasukan berkenaan.

"Terdapat berlaku sedikit penangguhan kerana visa yang dia perlukan dari kedutaan. Tetapi sekarang, itu semua telah diselesaikan dia boleh memulakan perjalanannya bersama kami! Selamat datang ke New York dan kami teruja untuk memiliki anda, Intan!" tulis kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, Intan turut mengesahkan mengenai perkembangan tersebut di hantaran Facebooknya.

2053702

Intan ketika berlatih bersama skuad negara. — FAM

"Doakan saya di New York, AS bersama kelab New York Dutch Lions untuk game di sana. Bismillah," ujarnya ringkas.

Intan yang berusia 24 tahun mula menjadi perhatian menyerlah ketika membantu pasukan futsal wanita negara meraih pingat gangsa dalam kejohanan Sukan SEA 2021.

Bagaimanapun, dia membuat keputusan untuk memberikan tumpuan terhadap bola sepak padang pada tahun ini dengan mewakili kelab Kelana United FC.

Intan juga merupakan antara tonggak utama skuad bola sepak wanita negara pada kejohanan Sukan SEA 2023 di Kemboja pada bulan lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram