IMPAK daripada kehilangan tonggak pasukan, Faisal Halim sudahpun dirasai Selangor FC apabila mereka tewas dalam Liga Super ketika berdepan Johor Darul Takzim (JDT) sebelum ini.
Meskipun ada yang mengatakan kehadiran pemain itu tidak memastikan kemenangan, ketiadaan pemain sayap itu meninggalkan kesan cukup besar memandangkan skuad Gergasi Merah gagal melakukan sebarang percubaan ke arah pintu gol lawan.
Kelincahan yang dimiliki penyerang bertubuh kecil tersebut boleh dianggap sebagai sebab utama kelab Lembah Klang tersebut semakin hampir menempah tiket ke pentas Asia musim depan.
Tidak cukup dengan itu, sumbangannya dari segi catatan jaringan juga tidak boleh dipandang rendah memandangkan dia sudah memperoleh lapan gol peribadi, sekali gus meletakkannya sebagai penjaring terbanyak dalam kategori tempatan.
Faisal terpaksa melupakan peluang beraksi bersama Selangor FC sehingga penghujung Ogos. — Facebook/Selangor FC
Kehilangannya pasti akan menjadi tamparan buat ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe yang terpaksa melupakan khidmat Faisal untuk tempoh sekurang-kurangnya satu bulan.
Selain terlepas beberapa aksi Liga Super, mereka juga terpaksa melupakan khidmat pemain berusia 25 tahun itu untuk dua perlawanan pembukaan Piala Malaysia berdepan PDRM FC.
Ia pasti akan membantutkan jentera serangan pasukan, sekali gus memaksa barisan kejurulatihan Selangor FC supaya mencari penyelesaian terbaik sepanjang ketiadaannya.
Tetapi, dengan jendela perpindahan sudah ditutup, harapan penyokong untuk melihat seorang rekrut dengan profil seakan-akan Faisal tidak dapat direalisasikan.
Jadi, untuk mengisi kekosongan itu, Cheng Hoe perlu menggunakan pemain yang dimiliki meskipun mempunyai jurang besar jika hendak dibandingkan dengan kapten skuad kebangsaan terbabit.
Melihat kepada skuad Gergasi Merah ketika ini, terdapat tiga pilihan buat pasukan berkenaan untuk memastikan jentera serangan mereka tidak mudah tumpul.
1. Aliff Haiqal Lau
Alternatif terbaik buat Cheng Hoe sepanjang ketiadaan Faisal adalah dengan menurunkan pemain tengah muda, Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau yang mempunyai pengalaman mencukupi bersama skuad senior.
Selepas 'dinaikkan pangkat' pada 2020, pemain berkenaan terus menjadi antara pilihan utama untuk dimasukkan pada minit-minit akhir permainan.
Tetapi, musim ini, kepercayaan barisan kejurulatihan terhadap anak jati Kajang, Selangor itu sudah semakin menebal apabila dia sudah diturunkan sebanyak 17 kali daripada 19 perlawanan.
Aliff Haiqal sering diberikan kepercayaan musim ini untuk berada dalam kesebelasan utama. — Facebook/Selangor FC
Melihat kepada statistiknya lebih mendalam, Aliff Haiqal berada dalam kesebelasan pertama sebanyak enam kali, termasuk ketika aksi Liga Super berdepan Johor Darul Takzim (JDT) 29 Julai lalu.
Minit-minit permainan itu sudah membuktikan bahawa pemain berusia 23 tahun itu memiliki pengalaman mencukupi untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Faisal.
Selain itu, pulangannya dari segi sumbangan di hadapan pintu gol juga tidaklah mengecewakan apabila dia sudah menjaringkan satu gol ketika berdepan Terengganu FC di laman sendiri.
Jadi, dengan faktor-faktor yang sudah disenaraikan, tidak mustahil sekiranya Aliff Haiqal diberikan peluang lebih kerap untuk mengemudi jentera serangan Selangor FC.
2. Danial Asri
Musim ini, lambakan penyerang tulen menyaksikan pemain muda, Danial Asri lebih kerap diletakkan di bangku simpanan atau hanya beraksi pada penghujung perlawanan.
Berdasarkan statistik, peledak berusia 23 tahun itu hanya diberikan sembilan penampilan Liga Super dengan kesemuanya ialah aksi dari bangku simpanan.
Oleh itu, ketiadaan Faisal boleh dianggap sebagai peluang terbaik buatnya memberikan impak terbaik sekiranya diberikan minit-minit berharga.
Namun, sekiranya Cheng Hoe mahu menggunakan khidmat Danial, terdapat kemungkinan rombakan perlu dibuat secara besar-besaran terhadap taktikal.
Penggunaan Danial akan memaksa perubahan dari segi taktikal skuad Gergasi Merah. — Facebook/Selangor FC
Ketika ini, Selangor FC sering menggunakan formasi 4-3-3 dengan pemain sayap kiri sebelum ini diisi Faisal sementara Mukhairi Ajmal atau Hein Htet Aung sering beraksi di bahagian kanan.
Bagaimanapun, dengan skuad Gergasi Merah sudah pun kehilangan Faisal dan Htet Aung, Cheng Hoe terpaksa mencari alternatif terbaik untuk membawa pulang lebih banyak mata.
Antara pilihan terbaik yang dimilikinya adalah dengan meletakkan dua penyerang tulen memandangkan dia memiliki lambakan alternatif di posisi itu, seperti Ayron del Valle dan Richmond Boakye.
Pendekatan sebegitu akan membuka peluang lebih besar buat Danial berada dalam kesebelasan utama ataupun dijadikan pilihan untuk melakukan penggiliran.
3. V Ruventhiran
Keputusan untuk menurunkan bek kiri muda, V Ruventhiran sebagai seorang pemain sayap pastinya akan dilihat sebagai satu bentuk perjudian buat barisan kejurulatihan Selangor FC.
Selepas memulakan kariernya bersama Petaling Jaya (PJ) City FC, anak jati Klang, Selangor tersebut memilih untuk menyertai skuad Gergasi Merah akibat pembubaran kelab itu.
Kehadiran pemain itu pada awalnya mencipta keghairahan dalam kalangan penyokong memandangkan dia berjaya mencipta nama bersama skuad Harimau Malaya ketika aksi Piala AFF.
Ruventhiran lebih kerap diletakkan sebagai bek kiri sepanjang kariernya. — Facebook/Selangor FC
Selain itu, Ruventhiran sering diberikan pendedahan untuk beraksi di posisi sayap menyerang ketika bersama skuad The Phoenix musim lalu.
Melihat kepada kebolehannya secara keseluruhan, pemain terbabit mempunyai skil berbeza dari segi pertahanan dan serangan, termasuk ketika melakukan hantaran ke dalam kotak penalti.
Jadi, sekiranya Cheng Hoe mahu melakukan satu perubahan mengejut, bek kiri itu boleh digunakan sebagai satu alternatif, lebih-lebih lagi ketika berdepan pasukan yang lebih menyerang.
Bagaimanapun, dengan Ruventhiran turut bergelut untuk mendapatkan minit permainan di posisi asalnya, kemungkinan untuk dia diberikan peluang pastinya lebih tipis. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram