PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan Harimau Malaya bakal bertandang ke Chengdu, China bagi menghadapi dua perlawanan persahabatan menentang dua negara yang berada di ranking 100 ke atas pada September.
China dan Syria adalah dua pasukan yang bakal diuji oleh anak-anak buah Kim Pan-gon bagi menghadapi kejohanan Piala Asia 2023 di Qatar tahun depan.
Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman berkata, dua perlawanan itu akan menghadapi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Syria pada 6 September dan China pada 9 September 2023, kedua-duanya berlangsung di China.
"Berdasarkan ranking FIFA terbaharu yang dikemas kini pada 20 Julai lalu, Malaysia berada di kedudukan ke-136 dunia, sementara Syria di kedudukan ke-94 dunia dan China di kedudukan ke-80 dunia.
"Pengesahan bagi kedua-dua perlawanan ini dibuat menerusi penelitian dan perbincangan bersama di antara pihak pengurusan bersama Pan-gon sendiri selepas majlis undian Pusingan 2, Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, Khamis lalu,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Faisal antara tonggak utama Harimau Malaya ketika ini. — Facebook
Penyokong Malaysia ternyata gembira dengan dua aksi persahabatan yang diatur FAM tetapi rata-ratanya berharap Faisal tidak digantung ketika skuad kebangsaan memerlukan khidmatnya.
"Moga Faisal kembali dari persaraan, dia antara harapan negara ketika ini," kata Aziz Hamid.
"Semoga Faisal boleh main, semoga mendapat keputusan yang positif berdepan gergasi Asia," ujar Farja Yusof.
"Faisal tak main? tolong tarik balik penggantungan Mickey sebab dia ayam tambatan Harimau Malaya," luah Sembang Bola Sepak.
"Tapi ada mesin yang nak bersara, kali ini Malaysia memang perlukan mesin," jelas Saiful Nizam.
Dua aksi antarabangsa itu dianggap penting sebagai persediaan sebelum beraksi di Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 November ini, serta Piala Asia di Qatar Januari tahun depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram