Faisal Halim ikrar enggan ngaku kalah, siap dapat sokong orang kuat Kedah


  • Podium
  • Khamis, 03 Ogos 2023

Faisal dikenakan penggantungan untuk satu tempoh yang panjang akibat kenyataanya sebelum ini. — Facebook/Selangor FC

PENGGANTUNGAN yang dikenakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terhadap pemain sayap negara, Faisal Halim terus menjadi bahan bualan hangat.

Berdasarkan kenyataan rasmi, penyerang terbabit sedang menjalani denda selama sebulan dengan terdapat kemungkinan hukuman itu akan dilanjutkan selama tiga bulan.

Tetapi, perkara terbabit adalah bergantung kepada penilian Jawatankuasa Tatatertib FAM terhadapnya untuk tempoh setahun dengan ia bakal berlangsung sehingga Ogos 2024.

Keputusan tersebut jelas mengakibatkan rasa kurang senang dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air memandangkan Faisal merupakan antara tonggak utama Harimau Malaya.

Tambahan pula, penyerang terbabit boleh diangkat sebagai pemain tempatan terbaik musim ini berdasarkan statistiknya di hadapan pintu gol bersama Selangor FC.

F192bbEagAAGyDw

Kenyataan media rasmi daripada Selangor FC berkaitan penggantungan Faisal Halim. Facebook/Selangor FC

Bagaimanapun, dengan keputusan badan induk bola sepak negara itu tidak diubah, Faisal terpaksa menerima nasib yang menimpa dirinya untuk satu tempoh yang panjang.

Jadi, untuk membantu dirinya dari segi mental, pemain terbabit dilihat lebih aktif di platform media sosial, termasuk TikTok yang mana dia baru sahaja memuat naik satu video pendek.

Berdasarkan klip itu, penyerang bertubuh kecil berkenaan berikrar bahawa dia tidak akan menganggap penggantungan terbabit sebagai sesuatu yang akan menjatuhkan moralnya.

"Setiap cabaran membuka peluang untuk bangun dan berdiri dengan lebih teguh. Takkan pernah menyerah. Kini, masa untuk kembali dengan satu misi, pertahankan kebanggaan ini," tulisnya.

Video berdurasi lebih tiga minit itu memaparkan sedutan Faisal sepanjang musim ini bersama skuad Gergasi Merah dan Harimau Malaya, termasuk jaringan serta bantuan gol.

315514785_2377167012472499_3122747687590520300_n

Din Gebu merupakan antara figura terkenal bersama skuad Sang Penyu musim lalu. Facebook/Terengganu FC

Seperti dijangka, hantaran tersebut berjaya mencuri perhatian peminat bola sepak tempatan yang tidak henti-henti memberi kata-kata semangat buatnya.

Malah, bekas kakitangan Terengganu FC, Ahmad Fakhruddin Abdul Aziz atau lebih dikenali sebagai Din Gebu juga tidak terkecuali untuk memberi sokongan buat Faisal.

"Bangkit my big boss, ramai di belakang menyokong anda Faisal. Semoga dipermudahkan," katanya menerusi ruangan komen.

Kedua-dua individu berkenaan sebelum ini pernah bekerjasama ketika masing-masing masih bersama Terengganu FC dengan Fakhruddin bergelar seorang kitman.

Bagaimanapun, pada penghujung musim lalu, mereka mengambil hala tuju tersendiri dengan Faisal menyertai skuad Gergasi Merah sementara Din Gebu mengikut jejak langkah ketua jurulatih, Nafuzi Zain yang berkelana ke Kedah Darul Aman (KDA) FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram