SEJAK kehadiran Tan Cheng Hoe pada musim lalu ternyata memberikan impak positif segera kepada Selangor FC sehingga berjaya membawa Gergasi Merah ke pentas akhir Piala Malaysia 2022.
Musim ini dengan kehadiran beberapa muka baharu dilihat berjaya menambah sengat Gergasi Merah sehingga berada dalam landasan yang betul untuk ke Asia musim hadapan.
Faisal Halim antara pemain yang menjadi arkitek utama skuad Tan Cheng Hoe sehingga dia berjaya menjaringkan lapan gol dan lapan assists dalam 18 perlawanan Liga Super setakat ini.
Kehadiran pemain berusia 25 tahun itu ternyata memberikan serangan tambahan sebelah kiri Selangor, namun sebaliknya pula di bahagian kanan.
Mukhairi Ajmal dan Ayron del Valle antara dua pemain yang cuba diketengahkan Cheng Hoe untuk beraksi di sayap kanan namun masih belum memberikan impak yang sama seperti Faisal Halim.
Majoriti senaraikan tiga pemain yang wajar direkrut Selangor untuk mengimbangi serangan kiri dan kanan skuad Tan Cheng Hoe:
Hidalgo antara watak penting Nafuzi musim ini. — Facebook/KDA FC
1. Manuel Hidalgo
Nama Manuel Hidalgo tidak asing lagi dalam Liga Super selepas dia merupakan antara pemain import muda yang mendapat perhatian penyokong bola sepak tempatan.
Pemain berusia 24 tahun itu menyertai Kedah Darul Aman FC (KDA FC) daripada Sri Pahang FC selepas cemerlang bersama Tok Gajah musim lalu.
Hidalgo dalam 18 penampilan berjaya menjaringkan tiga gol dan melakukan tujuh assists dan merupakan tonggak utama Hijau Kuning musim ini.
Jika Selangor menyambar Hidalgo, ini mungkin boleh menjadi aset jangka masa panjang Selangor untuk menaturalisasikan selepas lima tahun beraksi dalam Liga Malaysia.
Safawi sebelum ini dipinjamkan ke Ratchaburi FC. — Facebook/Ratchaburi FC
2. Safawi Rasid
Sebelum ini, Safawi Rasid sah kekal bersama Johor Darul Takzim (JDT), ada khabar angin mengaitkan pemain berkaki kidal ini ke Selangor FC.
Pemain berusia 26 tahun itu antara pemain yang sangat berbisa ketika beraksi di posisi sayap kanan dengan larian dan rembatannya.
Mempunyai pengalaman beraksi di Liga Eropah dan Thailand, Safawi pastinya akan memberikan nilai tambah buat Selangor yang mana dia juga sudah mengenali corak permainan Cheng Hoe.
Tidak boleh dilupakan Safawi antara watak utama Harimau Malaya semasa di bawah bimbingan Cheng Hoe.
Hakimi (kiri) pernah membantu Terengganu menang ke atas JDT di halaman sendiri pada 2021. — Facebook/Terengganu FC
3. Hakimi Abdullah
Tonggak sayap kiri Terengganu FC, Hakimi Abdullah bukanlah seorang pemain yang cukup dikenali namun dalam kalangan skuad Penyu pasti mengenali corak permainannya.
Rata-rata penyokong Terengganu sebelum ini pernah memberi komen yang mana mereka mengatakan pemain itu masih memerlukan bimbingan dan minit permainan secukupnya bagi menjadikan dia lebih matang.
Berdasarkan statistik, pemain berusia 23 tahun itu hanya tampil dalam enam perlawanan Liga Super dan merekodkan satu jaringan serta satu hantaran bantuan musim ini.
Cheng Hoe pastinya mampu mengasah bakat pemain ini ke tahap seterusnya jika dia menyertai Selangor. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram