Kejutan atau tepati ramalan, 3 pasukan dijangka mudah lolos aksi pembukaan Piala Malaysia


  • Podium
  • Khamis, 03 Ogos 2023

Debaran Piala Malaysia kian terasa menjelang perlawanan pembukaan yang akan bermula pada Khamis.

PERLAWANAN pertama Piala Malaysia pada Khamis menyaksikan tiga perlawanan akan berjalan secara serentak melibatkan tiga pasukan tumpuan iaitu Selangor FC, Kedah FC dan KL City FC.

Kehangatan permainan kian dirasai dengan cabaran diberikan lawan masing-masing yang juga tidak kurang hebatnya.

Di saingan Liga Super menyaksikan ketiga-tiga pasukan berkenaan masih bergelut untuk mendapatkan rentak konsisten dan jauh ditinggalkan skuad Johor Darul Takzim (JDT) selaku pendahulu liga dengan 54 mata keseluruhan berbanding Selangor(40), Kedah(37) dan KL City(28).

Namun, kempen Piala Malaysia musim ini dijangka menerima tentangan sengit daripada pasukan lain sekali gus bisa menjadi pengubat kekecewaan di saingan Liga Super.

Untuk perlawanan di pusingan pertama kejohanan kali ini, pemerhati sukan Majoriti iaitu Zikry Marzuki, Rahmi Jumriati dan Nor Idayu Bosro memberikan pandangan masing-masing bagi ketiga-tiga pertemuan terbabit.

1. PDRM FC - Selangor FC

"Melihat kepada prestasi kedua-dua pasukan, sukar untuk kita mengeluarkan ramalan tepat, lebih-lebih lagi dengan kebolehan PDRM FC untuk mencipta kejutan.

"Tetapi, meskipun skuad Gergasi Merah mengalami kekalahan ketika pertembungan kedua-dua pasukan sebelum ini, mereka mempunyai kelebihan dari segi kualiti.

"Kehilangan Faisal Halim dilihat akan merencatkan barisan serangan mereka dengan Richmond Boakye juga seperti sukar untuk beraksi akibat kecederaan di kepala yang dialaminya sebelum ini.

"Tambahan pula, mereka dilihat sedikit pasif ketika jendela perpindahan yang lalu dengan hanya membawa masuk Safuwan Baharudin dan Richmond sebagai muka baharu," ujar Zikry Marzuki.

selala

Yakin dengan kemenangan berpihak kepada anak-anak buah Tan Cheng Hoe di tempat lawan, Zikry memetik dua individu yang dijangka mampu membolosi jaring lawan pada perlawanan tersebut.

"Dengan kualiti yang cukup baik dimiliki pasukan Selangor, mereka mempunyai kelebihan berbanding PDRM yang juga hilang menyepi sepanjang jendela perpindahan yang lalu.

"Gol skuad Gergasi Merah akan dijaringkan Ayron del Valle atau Noor Al-Rawabdeh, namun terdapat kemungkinan besar gawang gol mereka tidak akan dibolosi," katanya.

2. Perak FC - Kedah FC

Bagi Nor Idayu Bosro, kredibiliti pasukan Kedah selaku pencabar utama musim ini dikatakan agak sukar untuk ditandingi skuad Seladang.

"Bukanlah ingin mengatakan Perak terlalu lemah namun, rekod pada dua perlawanan Liga Super lalu tidak memihak kepada The Bos Gaurus (TBG) dan jelas kemenangan akan menjadi milik Kedah.

"Pertemuan pertama pada 25 Februari lalu menyaksikan Perak tewas 1-4 di tangan Kedah manakala perlawanan kedua pada 7 Jun, TBG sekali lagi tewas 0-3 kepada pasukan sama. Data tersebut jelas menunjukkan kualiti kedua-dua pasukan.

Untitled design - 1

"Pada aksi Piala Malaysia, Kedah diramal menang 3-0 dengan dua jaringan daripada Ifedayo Olusegun dan satu lagi disumbangkan oleh Manuel Hidalgo.

"Kehadiran Ifedayo ke Sang Kenari memang beri impak sejak dia datang, 'King Dayo' tak pernah terlepas untuk cetak jaringan sejak menyarung jersi Hijau Kuning.

"Manakala Perak pula, import baru Luka Milunovic masih buntu untuk mencetak jaringan buat pasukannya dan pemain muda kurang berpengalaman juga menjadi faktor Perak bakal tersungkur sekali lagi di tangan Kedah," jelasnya.

3. Penang FC - KL City FC

Kelebihan mungkin kepada skuad KL City berdasarkan kemenangan besar 5-1 dengan skuad Kelantan dalam saingan Liga Super baru-baru ini.

Ramalan itu dibuat oleh Rahmi Jumriati yang menjangkakan skuad Warga Kota akan memenangi perlawanan itu kelak.

kll

"KL City boleh gunakan momentum kemenangan untuk menundukkan skuad Penang FC dalam kempen Piala Malaysia nanti, lebih-lebih lagi skuad kendalian Nenad Bacina akan bermain di tempat lawan.

"Romel Morales pasti akan menjadi tumpuan kerana aksi cemerlang yang mana menyaksikan dia mencetak jaringan hatrik dalam perlawanan menentang Kelantan FC sebelum ini.

"Penyerang import baharu Penang, Abdeen Temitope Abdul juga tentunya akan mendapat perhatian mata-mata penyokong Harimau Kumbang," katanya.

Menjangkakan perlawanan sengit antara kedua-dua pasukan, namun Rahmi Jumriati masih meletakkan kepercayaan terhadap pasukan Warga Kota dengan kemenangan 2-1 akan dijaringkan oleh Romel Morales dan Paulo Josue.

Ketiga-tiga pertemuan itu pastinya menjadi perhatian pemerhati bola sepak tanah air dengan perlawanan pembukaan kempen Piala Malaysia itu, melihatkan tiga pasukan di atas selaku pasukan tumpuan pada musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram