'Tak mungkin Faisal Halim nak dengar kata penyokong'


  • Podium
  • Isnin, 31 Jul 2023

Penyerang berbisa Selangor FC, Faisal Halim.

BARU-BARU ini, industri bola sepak tanah air dikejutkan mengenai hukuman penggantungan penyerang berbisa Selangor FC, Faisal Halim yang dikenakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selama empat bulan.

Hukuman penggantungan tersebut susulan daripada komen yang dibuat oleh Faisal selepas aksi Liga Super menentang Sabah FC pada April lalu.

Ini kerana, pemain kebangsaan berkenaan mengeluarkan kenyataan mengatakan terdapat pihak berhasrat menjatuhkan skuad Gergasi Merah.

Penyerang berusia 25 tahun itu dihukum selepas perbicaraan tatatertib diadakan dan hukuman tersebut bermula dari 25 Julai sehingga 23 Ogos.

faisalhaimmmm

Faisal Halim ketika beraksi bersama Harimau Malaya.

Sebelum ini, ejen pemain tersebut, Joe Berbatov turut meluahkan rasa tidak puas hati di media sosialnya terhadap FAM yang disifatkan seperti tidak menghargai jasa dan pengorbanan Faisal untuk Harimau Malaya.

Kekecewaan ejen terkenal tanah air itu terhadap tindakan badan induk berkenaan membuatkan dia menyarankan agar Faisal untuk bersara daripada menyarung jersi skuad kebangsaan.

Bukan sahaja ejen bola sepak malah pandangan itu turut disokong oleh segelintir penyokong Gergasi Merah yang mahu bekas pemain Terengganu itu tidak beraksi bersama skuad Harimau Malaya bagi menghadapi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 pada September depan.

Bagaimanapun, pendapat itu turut dikongsikan oleh penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli yang tidak bersetuju dengan pandangan tersebut.

"Tak mungkin kalau disebabkan oleh penggantungan Faisal tidak mahu mahu mewakili Harimau Malaya.

"Dia seorang pemain profesional, tidak mungkin dia akan terpengaruh dengan situasi itu," katanya kepada Majoriti.

Selain itu, Pekan turut mendedahkan bahawa Faisal atau gemar dipanggil ‘Mickey’ itu masih boleh bermain bersama skuad negara dan hanya digantung daripada mewakili pasukan Liga Super.

"Dia cuma digantung daripada mewakili pasukan dalam Liga Super tapi masih boleh beraksi untuk pasukan Harimau Malaya, jadi sudah pasti tiada isu mengenai perkara tersebut," katanya.

Pekan turut mendedahkan bahawa Mickey akan tetap turun beraksi untuk membantu skuad kebangsaan.

"Tapi saya percaya, sebagai pemain profesional, ia tidak mempengaruhi Faisal dan saya yakin Faisal memahami bahawa keutamaan beraksi bersama Harimau Malaya.

“Saya percaya Faisal akan turun untuk beraksi bersama Harimau Malaya," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram