'Kalau duduk JDT mesti macam Arif Aiman', fans mahu Penang sambung kontrak permata baharu Pulau Mutiara


  • Podium
  • Isnin, 31 Jul 2023

Alif meraikan jaringannya ketika menyumbat satu gol menentang Sabah. — Facebook/Penang FC

PENANG FC mencatatkan kekalahan kesembilan musim ini selepas tewas di halaman sendiri ketika melayani kunjungan Sabah FC dalam perlawanan Liga Super pada Ahad.

Dalam lima perlawanan terakhir, Penang hanya merekodkan satu kemenangan, tewas dua kali dengan pasukan Selangor dan Sabah.

Dengan prestasi yang tidak menentu Harimau Kumbang, rata-rata penyokong menuntut perubahan segera demi memastikan anak-anak buah Manzoor Azwira mampu beri saingan dalam baki perlawanan liga.

Ketika menentang Sabah, seorang pemain muda mencuri tumpuan seluruh penyokong Harimau Kumbang selepas dia bijak melepasi pertahanan import Sang Badak, Gabriel Peres dengan larian pantasnya.

Pergerakan Muhamad Alif Ikmalrizal itu berjaya menyumbang gol sagu hati buat Penang selepas dia merembat bola dengan deras sehingga menewaskan penjaga gol Sabah, Damien Lim.

IkmalRizal

Larian deras Alif berjaya menewaskan Gabriel Peres. Facebook/Penang FC

Persembahan pemain berusia 21 tahun itu ternyata mendapat pujian daripada penyokong Penang sehingga ada yang menggesa supaya pihak pengurusan segera memberikan kontrak jangka masa panjang kepada Alif.

Penyokong Penang juga bimbang Alif akan mendapat tawaran daripada pasukan lain sebaik sahaja nama dia mula disebut-sebut jika mempamerkan aksi yang konsisten musim ini.

"Harap Penang kalau pemain yang perform ini, lanjut kontrak awal. Kalau ada yang nak suruh beli, letak tanda harga sikit baru ada sumber kewangan," kata Arm Abdullah.

"Kalau Alif duduk dekat JDT, mesti dah power macam Arif Aiman," ujar Rafz Panamera.

"Dia nak kekal ke kalau tengok prestasi Penang macam ini? Nampak macam akan ucap selamat tinggal awal dia nanti," jelas Amyrul Che Ros.

"Jangan tunggu lama-lama, nanti diambil orang, dia pun banyak kali dah skor dalam Piala MFL," luah Mohd Faisal.

Dengan umur yang masih muda, Alif mempunyai potensi untuk menjadi salah seorang penyerang terbaik di masa akan datang.

Menjadi persoalan adakah pihak pengurusan Penang akan memberikan kontrak jangka masa panjang buat pemain berusia 21 tahun ini? Sama-sama kita nantikan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram