'Last minute' dapat tahu jadi calon, Aliff Taufid tetap gigih raih sokongan pengundi di Bandar Utama


  • Politik
  • Sabtu, 29 Jul 2023

Aliff Taufid (kanan) bergambar bersama dua calon lain selepas mendapat nombor calon masing-masing.

JIKA calon lain sudah sediakan senjata peperangan mereka lebih awal bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, lain pula kisahnya buat Aliff Mohd Tafid.

Kongsinya kepada Majoriti, dia hanya mengetahui dirinya tercalon mewakili Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama, empat hari sebelum hari penamaan calon.

"Saya baru tahu dapat jadi calon bidan terjun apabila pemimpin atasan telefon dan maklumkan nama saya naik jadi calon, jadi saya perlu ke program Perikatan Nasional (PN) Selangor. Esoknya terus pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin (berkenaan senarai calon).

"Saya bukan seorang yang anti bangsa, malah saya daripada Gerakan, saya faham 60 peratus pengundi di kawasan Bandar Utama sebelum ini mengundi Pakatan Harapan (PH). Jadi, kami cuba untuk raih semula undian pengundi sebelum ini yang mengundi PH.

Aliff Taufid nekad cuba untuk meraih semula undian di DUN Bandar Utama yang sebelum ini mengundi PH.

"Saya juga yakin Kampung Tunku akan memberikan sokongan yang tinggi kepada saya sebab kampung tersebut majoritinya sokong PAS, saya difahamkan begitu tetapi saya juga tak boleh berasa selesa, saya kena selalu turun dan melawat pengundi dari rumah ke rumah," katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita selepas selesai proses penamaan calon PRN Selangor untuk DUN N36 Bandar Utama di Dewan Komuniti Bandar Utama 11, Lebuh Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor pada Sabtu.

Mengulas lanjut, dia yang menggunakan nama Aliff Taufid sebagai nama calon mengakui enggan meletakkan keyakinan terlalu tinggi dalam pilihan raya kali ini, apatah lagi untuk menghadapi calon lain yang juga penyandang dan juga muka baharu.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kempen pilihan raya, dia memberitahu selain kaedah lawatan rumah ke rumah, dia juga akan menggunakan platform media sodial untuk menarik sokongan pengundi.

Sebahagian anggota polis dikerah bagi mengawal lalu lintas ketika proses penamaan calon di DUN N36 Bandar Utama pada Sabtu.

"Kita tak sama bandar dan luar bandar. Jika di luar bandar kita boleh saja turun rumah ke rumah dan berkempen.

"Jika di bandar pagi petang siang malam bekerja, jadi dia tidak ada masa untuk turun hadir ke berkempen atau ke ceramah kita. Kalau yang hadir pun adalah beberapa pihak, tapi kebanyakan penduduk di bandar Ini mereka bekerja," ujarnya.

Untuk rekod, DUN Bandar Utama menyaksikan pertembungan tiga pertembungan dalam PRN pada kali ini.

Selain Nur Aliff, calon lain yang bersaing di kawasan itu ialah wakil daripada PH, Jamaliah Jamaluddin dan calon muka baharu, Abe Lim Hooi Sean daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram