'Popular tapi tak semestinya menang', Izham anggap calon PN beri saingan sihat


  • Politik
  • Sabtu, 29 Jul 2023

Izham (depan, bersongkok) bergambar bersama penyokongnya sebelum memasuki pusat penamaan calon di Dewan MPAJ Pandan Indah, Kuala Lumpur pada Sabtu.

PENYANDANG kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah, Izham Hashim melahirkan keyakinannya untuk mempertahankan kawasan tersebut meskipun bakal bersaing menghadapi calon popular ditampilkan pihak lawan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor kali ini.

Beliau yang merupakan calon Pakatan Harapan (PH) itu bakal bertemu dengan pencabarnya daripada Perikatan Nasional (PN), Fazil Mohd Dali dalam persaingan yang menyaksikan pertembungan empat penjuru di kerusi berkenaan.

Fazil yang juga dikenali sebagai Ayahanda Cik Ton mula popular selepas kisah penghijrahannya yang sebelum ini pernah terlibat dengan kegiatan samseng tular di sosial media.

Izham berkata, tahap populariti seseorang calon bukan satu-satunya faktor menyumbang kepada kemenangan seseorang calon dalam Pilihan raya.

"Calon popular tu tak tahu lah popular macam mana. Tapi macam saya sebut, kita mengalu-alukan kehadiran siapa saja yang layak untuk bertanding.

"Kita bertanding cara sihat. Saya pun dah beri nasihat kepada semua peraih undi dan petugas supaya berkempen dengan berhemah dan berakhlak serta sopan santun," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyelesaikan proses penamaan calon di Dewan MPAJ Pandan Indah, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Selain Izham dan Fazil, dua lagi calon bakal bersaing di kerusi terbabit ialah Noor Faralisa Redzuan mewakili Muda dan Sivaneswaran Ramasundram (Bebas).

amnan 2

Izham yakin pengundi di Pandan Indah bijak dalam membuat pilihan berdasarkan kepada rekod prestasinya sepanjang lima tahun berkhidmat di kawasan tersebut.

Pada PRU14 lalu, Izham yang juga Pengerusi Parti Amanah Selangor memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 16,386 menewaskan pencabarnya, Datuk Haniff Koslan (BN) dan Datuk Iskandar A Samad (PAS).

Dalam pada itu, Izham yang juga bekas Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor berkata, beliau berharap agar semua calon yang bertanding tidak menggunakan pendekatan menghina antara satu sama lain demi untuk mendapatkan undi.

Katanya semua pihak perlu bersaing dengan menggunakan hujah yang bersandarkan kepada fakta serta agenda hendak dibawa di kawasan tersebut.

Pada masa sama, Izham yang juga Pengerusi Amanah Selangor berkata, beliau yakin pengundi di kawasan tersebut bijak untuk menilai sendiri prestasinya sebagai wakil rakyat sepanjang tempoh lima tahun khidmatnya.

"Saya telah buktikan lima tahun itu boleh tanya orang Pandan sendiri. Saya tidak pernah diskriminasi sesiapa yang memerlukan bantuan dan sokongan saya," ujarnya.

DUN Pandan Indah yang terletak di bawah Parlimen Pandan merupakan kerusi terdiri daripada komposisi majoriti Melayu yang membentuk 60.5 peratus daripada demografi diikuti Cina (30.6 peratus ), India (8.0 peratus) dan lain-lain (0.9 peratus). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram