CALON Bebas yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah, Sivaneswaran Ramasundram berhasrat menghidupkan kembali aktiviti ekonomi di beberapa kompleks perniagaan dan beli-belah di sekitar kawasan tersebut.
Menurutnya, langkah itu perlu dilakukan kerana ia membantu meningkatkan pendapatan penduduk setempat termasuk peniaga kecil dan sederhana yang masih berdepan dengan tekanan ekonomi.
Antara kompleks yang menjadi sasaran untuk dihidupkan semula di sekitar Pandan Indah, Selangor ialah pusat beli-belah sedia ada, Paragon Point Shopping Centre, Pandan Kapital, Midpoint Shopping Centre dan Galaxy Ampang Mall.
Untuk tujuan tersebut, Sivaneswaran, 48, yang merupakan ahli perniagaan berkata, ia boleh direalisasikan dengan menambah baik promosi pelancongan setempat.
"Sebagai contoh, di sini kita ada stadium mini (Stadium MPAJ) yang boleh digunakan untuk penganjuran sukan peringkat kebangsaan.
"Bila kita buat program macam ini, potensi untuk orang dari luar untuk sewa hotel, rumah dan membeli-belah di sini lebih tinggi. Di samping itu, mereka juga akan kenal pasti rumah dan pejabat yang boleh disewakan untuk perniagaan mereka.
"Ini secara langsung meningkatkan potensi ekonomi di kawasan setempat dan kompleks yang 'mati' dan kosong di sini dapat dihidupkan," katanya kepada Majoriti.
Calon Bebas di DUN Pandan Indah, Sivaneswaran Ramasundram
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor kali ini, DUN Pandan Indah menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan penyandangnya, Izham Hashim daripada PH, Muhammad Fazil Mohd Dali (PN) dan Lisa Redzuan (Muda).
Pada PRU14 lalu, Izham yang juga Pengerusi Parti Amanah Selangor memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 16,386 menewaskan pencabarnya Datuk Haniff Koslan (BN) dan Datuk Iskandar A Samad (PAS).
Dalam pada itu, Sivaneswaran yang pertama kali bertanding dalam pilihan raya itu yakin statusnya sebagai anak tempatan memudahkan untuk dikenali oleh pengundi di kawasan tersebut.
Bapa kepada seorang anak itu menambah, beliau juga sudah terlibat secara aktif dalam aktiviti kemasyarakatan termasuk pencegahan jenayah sejak tahun 2009 melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Antara jawatan pernah disandang adalah sebagai Ahli Jawatankuasa Biro Keselamatan Parlimen Pandan yang ketika itu diterajui oleh Presiden MCA, Ong Tee Keat dan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Pandan Indah Fasa 4. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram