CALON Parti Muda, Azad Akbar Khan mencuri tumpuan media apabila hadir menghantar borang pencalonannya di pusat penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) di Dewan Besar Tanjung MBSA, Seksyen 19 Shah Alam, Selangor bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik dengan tangan beranduh pada Sabtu.
Ketua Parlimen Muda Klang itu memaklumkan, dia baru menjalani pembedahan tangan pada bulan lalu.
Katanya, dia mengalami kecederaan tersebut ekoran daripada terjatuh ketika sedang berjalan-jalan di ibu kota Kuala Lumpur.
"Tangan saya mengalami retak ketika terjatuh pada waktu kejadian.
"Tetapi sebelum itu, 10 tahun yang lalu saya turut mengalami kecederaan di bahu," katanya ketika ditanya wartawan Majoriti.
Azad yang berbaju Melayu warna kelabu turut meluangkan masa untuk memberi sokongan kepada seorang lagi calon Muda, Syaidiyah Izzati Nur Razak yang bertanding di DUN Batu Tiga.
Azad akan menghadapi pertembungan tiga penjuru di DUN Kota Anggerik menentang Najwan Halimi yang mewakili Kerajaan Perpaduan (PH-BN) dan Sukri Omar daripada Perikatan Nasional.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan dan Penang diadakan serentak pada 12 Ogos ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram