Kos tinggi stadium sekali lagi dibangkitkan, fans Selangor pertikai Raja Petra ambil kesempatan PRN


  • Podium
  • Sabtu, 29 Jul 2023

Sebuah stadium serba canggih sedang berada dalam perancangan kelab Lembah Klang itu. — Facebook/Selangor FC

KEROSAKAN bumbung serta kemudahan-kemudahan lain di Stadium Shah Alam, Selangor menyaksikan skuad Gergasi Merah terpaksa berpindah-randah bagi aksi di tempat sendiri.

Musim ini, mereka terpaksa menggunakan Stadium MBPJ, Selangor sebagai tempat sendiri yang turut dikongsikan dengan sebuah lagi pasukan Liga Super, PDRM FC.

Situasi tersebut jelas memberi kesan terhadap sokongan pengikut tegar Selangor FC yang terus berhasrat sebuah stadium dapat dibangunkan pada masa terdekat.

Menurut perkongsian pada September lalu, terdapat perancangan dalam kalangan pihak pengurusan untuk mendirikan stadium serba canggih bagi kegunaan skuad Gergasi Merah.

'Rumah baru' itu difahamkan mempunyai kapasiti sehingga kira-kira 35,000 penonton menerusi projek pembinaan Kompleks Sukan Shah Alam.

Selain stadium baharu, terdapat juga beberapa fasiliti yang akan turut dibangunkan sekitar kawasan bagi menggalakkan lagi aktiviti riadah dalam kalangan masyarakat.

An aerial view of Shah Alam Stadium.

Keadaan Stadium Shah Alam yang sudah tidak dapat lagi digunakan.

Bagaimanapun, di sebalik perbincangan itu, timbul persoalan mengenai kos yang terpaksa dikeluarkan memandangkan stadium itu akan turut dilengkapi sistem pengaliran bagi mengelakkan masalah banjir.

Sebelum ini, terdapat penilaian awal dibuat yang mengatakan pembinaan tersebut akan menelan perbelanjaan sehingga RM787 juta dengan ia dianggarkan boleh digunakan pada 2027.

Namun, penilaian berkenaan dikatakan terlalu rendah dengan pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris menyifatkannya sebagai tidak logik.

Baru-baru ini, seorang lagi figura terkenal tanah air iaitu blogger ternama, Raja Petra Raja Kamaruddin turut mempersoalkan kos awal tersebut menerusi satu ciapan di Twitter peribadinya.

"Skandal MBI (Perbadanan Menteri Besar) Selangor. Kos Stadium Shah Alam naik dari RM787 juta kepada RM3.28 bilion. Sebab apa (Datuk Seri) Saifuddin Nasution diam?" soalnya sambil menyertakan kos keseluruhan pembangunan KSSA.

Hantaran yang dibuat pada Jumaat itu dilihat bertujuan mempolitikkan isu anggaran kos pembinaan stadium ketika mana negara sedang sibuk dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, termasuk Selangor.

WhatsApp Image 2023-07-29 at 14.50.22

Kos pembinaan stadium baharu buat Selangor FC dikongsikan pengguna media sosial. Twitter/Raja Petra Kamarudin

Perkara berkenaan jelas mengundang perhatian ramai, terutamanya penyokong Selangor FC yang tidak mahu berdiam diri mengenai perancangan pasukan itu.

"Tak silap harga tu bukan untuk stadium sahaja, ia termasuk sekali pusat-pusat sukan dan riadah yang lain, Stadium Shah alam ni akan jadi Sport City untuk Negeri selangor,

"Semua kemudahan sukan akan berdekatan dengan keliling stadium. Sebab lambat bina, mungkin tunggu kemudahan pengangkutan awam siap," tulis Nazmil 77.

"Tu kan kos keseluruhan pembangunan sekeliling stadium, bukan stadium sahaja, termasuk LRT (Transit Aliran Ringan). Kat Selangor ni, ada pelbagai pilihan kemudahan awam," tulis Hoho Hoho 96.

"Nilai stadium lain, nilai keseluruhan pembangunan kawasan lain. Yang akan naik dekat situ bukan stadium semata. Perkara itu semuanya dah diterangkan," kata seorang penyokong menerusi akaun Twitter Selangor Power Sampai Kiamat.

Setakat ini, masih tiada kerja-kerja pembinaan yang sedang dijalankan dengan Stadium Shah Alam masih belum dirobohkan walaupun perancangan sudah dibuat sejak September tahun lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram