[VIDEO] Calon muda di kawasan tua, Jamaliah enggan warga emas di Bandar Utama tercicir


  • Politik
  • Sabtu, 29 Jul 2023

Jamaliah (tengah) bergambar bersama penyokong tegarnya ketika selesai menjalani proses penamaan calon di Dewan Komuniti Bandar Utama 11 pada Sabtu.

CALON Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin berhasrat untuk memajukan dasar kerajaan negeri yang menuju ke arah kesejahteraan hidup golongan emas di kawasan tersebut.

Menurut Jamaliah, sebagai penyandang kerusi itu, dia melihat selain pembangunan, fokus utama perlu diberikan kepada golongan berkenaan.

Apatah lagi katanya, pihaknya mempunyai lebih banyak penglibatan program bersama dengan golongan tersebut.

Berdasarkan rekod juga, populasi golongan emas di DUN Bandar Utama adalah yang paling tinggi berbanding peringkat umur yang lain.

"Kita lebih banyak memahami apa yang warga emas perlukan.

"Ia termasuklah berusaha untuk memajukan sesebuah dasar dalam kerajaan agar golongan tersebut tidak tercicir," katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon di Dewan Komuniti Bandar Utama 11, Lebuh Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor pada Sabtu.

Dalam pada itu tambahnya, PH juga perlu mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai salah satu negeri yang menyumbang kepada Kerajaan Perpaduan.

"Kita baru sahaja habis tempoh pandemik Covid-19, jadi ini merupakan masa yang sangat sesuai untuk kita pulihkan ekonomi, fokuskan polisi yang berkaitan dengan pendidikan, masa depan dan peluang pekerjaan.

"Kita tidak boleh membenarkan apa-apa unsur yang akan menyebabkan ketidakstabilan kepada negara.

WhatsApp Image 2023-07-29 at 14.22.27

Dari kiri (Jamaliah, Abe Lim Hooi dan Nur Aliff Mohd Tafid) menunjukkan nombor calon masing-masing.

"Jadi penting untuk kita memenangi kerusi bukan sahaja di Bandar Utama malah di seluruh negeri Selangor untuk melihat perkembangan prestasi negeri ini.

"Malah tambahnya, Selangor juga merupakan antara penyumbang keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang tertinggi di seluruh negara, ini adalah statistik bukan khabar angin," katanya lagi.

Untuk rekod, DUN Bandar Utama menyaksikan tiga pertembungan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada kali ini.

Mewakili Pakatan Harapan (PH) untuk bersaing di kawasan itu ialah Jamaliah, manakala calon daripada Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) ialah Nur Aliff Mohd Tafid.

Selain itu, calon muka baharu, Abe Lim Hooi Sean daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang turut bertanding di kerusi sama.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram